PELAKON terkenal Janna Nick berkongsi satu hantaran video memperlihatkan dirinya  sedang melakukan aktiviti kecergasan sebagai satu cara untuk melawan kecaman masyarakat disebabkan sering menjadi mangsa ‘body shaming’.

‘Body shaming’ kini bukan lagi isu yang kecil dan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan dan paling teruk menjurus ke arah perilaku membunuh diri. 

Perkara ini tidak sahaja terkena kepada insan biasa namun golongan artis turut terkena tempias dalam isu ini.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner,26, berkongsi video berdurasi 54 saat itu menceritakan secara ringkas kisah hidupnya yang dicemuh oleh orang sekeliling berkenaan tubuh badannya sehingga ada kala dia berfikir untuk berputus asa.

“Harini aku rasa sedih. Selama ini aku tidak peduli apabila orang beritahu aku gemuk, peha aku besar tapi kali ini aku betul-betul terasa.

“Sampai fikir nak memotong perut. Bodoh bukan?

“Tapi tidak mengapa. Aku akan buktikan aku boleh kurus. Biarlah mereka nak sakitkan hati aku, asalkan aku tidak sakitkan hati orang lain,” kata Janna dalam video terbabit.

Di akhir video tersebut, Janna sempat menitipkan pesanan kepada mereka di luar sana agar berhenti daripada menyakitkan orang lain dengan perilaku ‘buli’ ini.

“Aku harap anda semua yang tengok video ini, tolong berhenti ‘body shaming’ orang lain. Ia tidak hebat (it’s not cool),” nasihatnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyokong intipati kongsian yang dibuat dan ada juga rakan artis memberi semangat kepada Janna agar tidak terus berasa rendah diri.

“Buat apa sahaja yang menggembirakan anda (Do whatever makes you happy). Yang penting sihat dalaman dan luaran. 

“Saya sayang awak seadanya (I love you the way you are)!! Ini benar-benar mesej dan terima kasih kerana memberi motivasi kepada saya juga (This is really a message and thank you for motivating me too)!

“Terima kasih kerana membuat video ini (Thank you for doing this video). Anda bersuara untuk ramai orang di luar sini (you voice out for a lot of people out here),” demikian komen pengikut-pengikutnya di bawah kongsian tersebut.

Untuk rekod, Janna mula menempa nama secara meluas dalam industri lakonan tanah air dengan hasil lakonannya yang mantap menerusi drama Syurga Nur yang disiarkan pada 2015 di Tv3.