Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, Tun Mohd Hanif Omar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian daripada tokoh-tokoh termasuk pemimpin pelbagai parti politik, cendiakawan dan NGO melayu pada Sidang Penyatuan Bangsa anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. GAMBAR: Abd Razak Aid

SIDANG Penyatuan Bangsa yang dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini menggariskan empat ketetapan yang diperakui oleh para peserta program tersebut.

Turut diperakukan lima ketetapan untuk diangkat sebagai tindakan yang wajib dilaksanakan oleh semua kelompok pemegang taruh bangsa, secara sepakat dan bersama.

Empat ketetapan pertama ialah:

Pertama: perhimpunan ini sepakat sepenuhnya untuk menjunjung sidang yang mulia ini sebagai tindakan jihad dengan keredaan Allah SWT. Dengan nawaitu itu, kami semua akur dengan tatacara, adab dan tertib dalam berjihad.

Kedua: dengan tawakkal kami perakui bahawa pelbagai kelompok pemegang taruh bangsa yang telah bersidang ini, bersama pihak berkuasa kerajaan, telah sekian lama melaksanakan amanah dan tanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing, dengan cara yang wajar, bagi memakmurkan seluruh bangsa kita di tanah air kita sendiri. Meskipun begitu, amat jelas kelihatan betapa semakin lama tindakan berlaku, namun hasil dan prestasinya ketara semakin merosot, menyebabkan bangsa kita masih berhadapan dengan keadaan vulnerable, terpaksa bergelut dengan pelbagai krisis dan ancaman terhadap survival mereka. Pastilah tidak semua punca kemerosotan itu boleh ditudingkan jari kepada pihak-pihak tertentu saja. Namun beberapa gejala songsang yang mencemari keberkesanan tadbir urus dan integriti yang selama ini memperlihatkan kecemerlangan merupakan petanda akan kerosakan pelbagai tindakan. Maka kelemahan itu hanya dapat dibenteras dengan tindakan berjihad tanpa kompromi

Ketiga: Memandangkan semakin banyak krisis dan ancaman yang harus didepani oleh bangsa kita , samada berpunca dari pihak luar, mahupun sebagai cetusan dari permasalahan serta kelemahan dalaman dikalangan bangsa kita sendiri, sudah tiba masanya semua kelompok pemegang taruh, bersama Kerajaan, membina dan memperkasa kesepakatan baru bagi menangani krisis dan ancaman ini, dengan bijaksana, bermaruah dan diberkati Allah SWT.

Keempat: tidak dapat dielakkan bahawa bila berbicara mengenai penyatuan bangsa, berjihad dan bergelut demi survival, kita amat wajar mengembeling segala tenaga terutama sekali institusi pemerintahan dan kepimpinan (politik ) bangsa kita untuk mendepani agenda ini dengan teguh dan bersepadu.

Lima ketetapan untuk diangkat sebagai tindakan pula ialah:

Mendekati raja-raja bagi menyuarakan pandangan rakyat jelata untuk mereka melindungi kedaulatan semua institusi kerajaan yang mereka terajui, selaras dan konsisten dengan peruntukan Perlembagaan dan Wasiat yang mereka meterai pada 5-8-1957.

Menegaskan kepada kerajaan serta jentera pentadbiran awam dan korporatnya akan betapa perlunya memperkemaskan semula sistem penyampaiannya serta mengatasi segala kelemahan atau kepincangan yang berlaku , dengan segera dan berkesan.

Mengadakan rundingan secara tertutup atas prinsip persaudaraan dan muhibah, semua institusi politik bangsa kita, agar mereka mengutamakan agenda pemerkasaan dan keutuhan bangsa dan berpolitik sesama mereka dengan cara yang lebih bersaudara serta berbudi-bahasa.

Sebahagian daripada tokoh-tokoh termasuk pemimpin pelbagai parti politik, cendiakawan dan NGO melayu yang hadir pada Sidang Penyatuan Bangsa anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca: Seruan penyatuan bangsa bergema pada sidang MPM

[VIDEO] Penyatuan bangsa jihad nombor satu MPM

Memberi mandat kepada MPM menubuhkan pelbagai pasukan petugas bagi setiap isu atau permasalahan yang hendak ditangani, dengan seboleh bolehnya melibatkan pelbagai kelompok pemegang taruh bangsa kita.

Memberi mandat kepada MPM melakukan dan menghasilkan dapatan berkala atau review kemajuan dari semua usaha berkaitan pencapaian jihad ini untuk dikongsi dengan semua yang terlibat dengan niat untuk diketahui keberhasilan usaha murni dari Sidang ini serta lain-lain aktiviti yang berkaitan dengannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad melahirkan rasa syukur dengan penganjuran sidang ini yang berlangsung lancar dengan perbincangan dilakukan secara berhemah, beradab dan bijaksana.

Katanya, peserta sidang meja bulat ini tidak mempersoalkan tindak-tanduk kaum lain tetapi mengutamakan agenda penyatuan bangsa.

“Apabila kita bersatu, kita kuat dan kita akan dihormati. Selepas itu kita boleh lihat siapa rakan-rakan yang boleh bersama bagi meneruskan pemerintahan,” katanya.

Menurut Dr Hasan, apa yang dimahukan ialah Melayu kuat melalui penyatuan.

Sidang meja bulat hari ini dihadiri pemimpin UMNO yang diwakli Setiausa Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Turut hadir pada majlis itu tokoh dalam pelbagai bidang antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM sendiri, Tun Haniff Omar, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Zaki Tun Azmi, Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohd Yussof Latif, Tan Sri Musa Hasan dan Datuk Seri Zaini Said

Antara cendekiawan yang hadir, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Datuk Dr Zainal Kling, Datuk Dr Hashim Yaacob dan Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Turut menyertai sidang meja bulat selama tiga jam itu antaranya Datuk Shuhaimi Baba, Datuk Seri Idris Jusoh dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri.