INGAT lagi tak suatu ketika dahulu, pernah heboh diperkatakan tentang Bigfoot? Pun begitu, belum ada penemuan yang benar-benar sahih tentang makhluk itu menyebabkan ia masih menjadi salah satu misteri yang belum terungkap.

Di seluruh dunia, penemuan makhluk ini pernah direkodkan dan gelarannya adalah berbeza-beza. Contohnya di Amerika Utara, ia dikenali sebagai Bigfoot atau Sasquatch. Manakala di Asia, terutamanya di kawasan Himalaya, makhluk ini digelar Yeti. Di Amazon pula, penduduk tempatan menggelarnya dengan jolokan Mapinguari dan di Australia ia digelar sebagai Yowie.

Sekalipun mempunyai gelaran yang berbeza, kebanyakan pihak yang mendakwa pernah menjumpai makhluk ini memberi gambaran yang sama. Mereka mengatakan Bigfoot bertubuh tegap dengan ketinggian sehingga 10 kaki, mempunyai gigi yang jarang, matanya berwarna merah serta seluruh tubuhnya dilitupi oleh bulu merah kehitaman.

Di Malaysia, suatu ketika dahulu juga pernah diperkatakan tentang Bigfoot yang dikatakan wujud di kawasan perhutanan negeri Johor dan Pahang.

Lama dahulu juga pernah diperkatakan tentang kelibat Bigfoot yang dikatakan dilihat di Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Ia berdasarkan cerita penduduk tempatan di sekitar kawasan tersebut.

Kami dahulu pernah menemubual seorang penduduk asal di Pulau Jerejak bernama Zulkarnain. Beliau mendakwa pernah terserempak dengan makhluk itu ketika menetap di pulau tersebut hampir 40 tahun yang lalu. Ketika itu dia berusia belasan tahun.

Cerita Zulkarnain, ketika itu dia menetap di pulau tersebut kerana bapanya adalah seorang wadar penjara yang mengawal banduan akhir yang ditempatkan di situ. Pulau Jerejak ketika itu adalah sebuah pulau yang dipenuhi belantara tebal. Selain penjara, yang ada hanyalah kuarters wadar dan kawasan perkuburan bekas pesakit kusta.

Pulau Jerejak.

Tiada apa yang menarik di Pulau Jerejak ketika itu. Bekalan elektrik pun hanya bergantung pada generator sahaja. Kalau generator rosak, alamatnya gelap gelitalah seluruh pulau.

Bukan saja elektrik, tetapi bekalan air juga terbatas. Terdapat satu tangki air di atas puncak salah satu bukit di Pulau Jerejak. Setiap hari pada waktu subuh, tangki air ini akan dibuka oleh staf Jabatan Bekalan Air Pulau Pinang (JBAPP) untuk kegunaan penduduk dan akan ditutup semula pada waktu petang, sebelum maghrib.

Kejadian beliau terserempak dengan Bigfoot ini terjadi ketika Zulkarnain mengikut salah seorang staf JBAPP yang bertugas untuk menutup tangki air. Cerita Zulkarnain, laluan ke tangki itu hanyalah melalui denai kecil yang dikelilingi oleh hutan tebal.

Walaupun setiap petang Zulkarnain selalu menjadi peneman kepada staf JBAPP yang bertugas, namun tidak pernah pula beliau dengar cerita tentang makhluk aneh ini. Yang ada hanyalah mawas-mawas ataupun kalau nasib tak baik, mereka akan terserempak dengan binatang berbisa seperti ular.

Namun pada suatu petang ketika di pertengahan jalan untuk ke tangki air itu, tanpa diduga mereka telah ditahan oleh sepasang makhluk aneh – berbadan besar dan berbulu di keseluruhan badan. Makhluk tersebut berdiri di laluan denai sambil memandang tepat ke arah mereka.

Mereka tak mampu untuk berkata apa-apa memandangkan makhluk tersebut begitu aneh dan mempunyai fizikal yang sangat besar. Bimbang keselamatan diri terancam, mereka bingkas beredar dari kawasan itu dengan berlari sekuat-kuat hati, tanpa menoleh lagi ke belakang.

Semenjak itu, Pulau Jerejak heboh dengan cerita mengenai Bigfoot. Selepas Zulkarnain, beberapa penduduk di kawasan tersebut juga mendakwa mereka pernah bertemu dengan makhluk yang serupa. Namun setakat yang diketahui, makhluk tersebut tidak mencederakan sesiapa yang pernah terserempak dengannya.

Menurut Zulkarnain, selain dirinya sendiri, beberapa orang nelayan di sekitar Batu Maung juga pernah menceritakan pengalaman yang sama. Mereka pernah melihat kelibat makhluk bertubuh besar bertenggek di atas salah sebuah batu di pulau tersebut ketika turun ke laut. Makhluk tersebut kebiasaannya dilihat seperti mencangkung menunggu sesuatu. Boleh dikatakan mustahil untuk manusia memanjat atas batu itu kerana ia sangat besar dan terletak di sebelah selatan pulau yang tiada jalan darat.

Cerita tentang Bigfoot di Pulau Jerejak ini telah menimbulkan beberapa spekulasi. Ada yang mengatakan ia jelmaan penunggu pulau yang menyerupai monyet besar.

Ada juga yang menganggap makhluk tersebut adalah orang utan yang terlebih dahulu menghuni kawasan itu, namun sukar diterima kerana populasi orang utan hanya di Borneo.

Sehingga kini, tanda tanya tentang makhluk di pulau itu yang pernah heboh diperkatakan suatu ketika dahulu masih kekal misteri.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/