IMPIAN peminat untuk menyakiskan pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) nampaknya akan terkubur apabila pihak Enfiniti (M) Sdn Bhd mengumumkan terpaksa membatalkan rancangan terbabit.

Meskipun projek PGL sudah tertangguh tiga tahun ekoran pandemik Covid-19, namun pihak penganjur terpaksa membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat membawa PGL ke panggung Istana Budaya.

“Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa komited dalam seni persembahan, kami percaya bahawa ‘the show must go on’. Namun begitu, pada masa sama, kami tidak mampu menolak ada masanya keadaan sebaliknya akan berlaku.

“Setelah meneliti ke semua pilihan yang ada, kami dengan berat hati memaklumkan Muzikal Puteri Gunung Ledang yang sudah lama dirancang terpaksa dibatalkan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

Pihak Enfiniti menghargai sokongan dan timbang rasa peminat yang sudah membeli tiket PGL.

“Berikutan pembatalan ini, kami akan mengembalikan bayaran pembelian tiket secara berperingkat mulai 1 Julai hingga 31 Disember depan.

“Dalam jangka masa 14 hari, anda akan menerima emel daripada kami berhubung butiran dan tindakan lanjut mengenai pemulangan bayaran secara online.

“Bayaran pemulangan akan dilakukan secara sistematik bersama agensi tiket. Justeru, kami mohon anda bersabar sepanjang proses ini berlangsung,” katanya.

Malah, susulan pembatalan Muzikal PGL, pihak Enfiniti memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang tercetus.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang tiket Muzikal PGL atas kesabaran dan pertimbangan anda pada waktu yang tidak terduga ini.

“Kami berharap agar anda akan terus menyokong industri seni persembahan yang telah terjejas teruk sejak dua tahun lalu,” katanya.