SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun yang sebelum ini didakwa dijangkiti penyakit cacar monyet sebenarnya positif penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham menerusi Twitter, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kanak-kanak tersebut dijangkiti HFMD virus coxsackie A6 menerusi keputusan ujian yang dilakukan.

Kata beliau, kanak-kanak itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor untuk membuat pemeriksaan kerana mengalami gejala demam pada 13 Mei lalu.

Seterusnya, beliau berkata, dia juga telah mengalami ruam pada 16 Mei.

“Ruam ini menjadi blister pada 19 Mei dan mula pecah pada 21 Mei.

Baca artikel berkaitan: HFMD: Kes meningkat 20 kali ganda, Selangor masih tertinggi

“Kanak-kanak ini dipantau di Hospital Kuala Lumpur dengan dua sampel telah diambil di mana Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan telah membuat pengujian beberapa jenis virus termasuk untuk HFMD dan cacar monyet.

“Keputusan ujian mengesahkan HFMD positif virus coxsackie A6 dan negatif cacar monyet serta lain-lain virus yang diuji,” katanya dalam hantaran tersebut.

Selasa lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan belum menerima notifikasi berkenaan kes membabitkan individu yang dijangkiti virus cacar monyet di negara ini.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata, ini termasuk kes membabitkan kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus tersebut seperti dalam mesej beserta gambar yang tular.

“Sekiranya gambar itu benar, waris kepada kanak-kanak berkenaan dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram