KETAKSUBAN terhadap ideologi politik menjadi satu daripada punca kewartawanan Melayu ‘terbunuh’ dan gagal berkembang dalam negara.

Keadaan tersebut menjadi lebih parah apabila ada segelintir cendekiawan yang meremehkan kewartawanan Melayu dengan anggapan ianya sekadar picisan, pengampu parti politik dan tidak boleh dipercayai.

Penegasan itu dilontarkan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican ketika mengulas mengenai reformasi kewartawanan Melayu dalam Malaysia.

HAWANA 2022 juga platform untuk memperkukuh ekosistem kewartawanan negara.

Ahmad Murad berkata, perbezaan ideologi politik dalam kalangan orang Melayu sehingga ke tahap mengganggap sesebuah parti itu sebagai ‘dunia dan akhirat’ membuatkan sokongan terhadap media Melayu terpecah khususnya surat khabar.

Jelas beliau, ramai dalam kalangan pentaksub politik telah menolak untuk memberi sokongan terhadap media berbahasa Melayu sekaligus membuatkannya menjadi mundur dari semasa ke semasa.

“Terdapat beberapa contoh dalam sejarah kewartawanan Melayu yang menunjukkan ideologi politik telah membunuh surat khabar Melayu.

“Misalnya, akhbar berbahasa Melayu yang diterbitkan pada 1939 yang asalnya bersifat bebas, radikal dan tidak bertaut kepada mana-mana ideologi politik terkubur dek kerana cengkaman parti politik,” katanya.

Baca artikel berkaitan: HAWANA 2022 perkukuh hubungan kerjasama wartawan Malaysia-Indonesia

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), UIAM.

Menurut Ahmad Murad, masyarakat Melayu perlu mempunyai kesedaran dan memahami kepentingan kewartawanan Melayu terhadap bangsa dan negara.

Tegas beliau, sokongan terhadap kewartawanan Melayu oleh bangsa sendiri amat penting seperti mana yang ditunjukkan masyarakat Cina yang menggunakan akhbar sebagai ‘lidah’ mereka.

Jelas beliau, kefahaman masyarakat Cina terhadap kepentingan kewartawanan Cina amat berbeza selain lebih bersatu-padu ketika menyokong akhbar mereka walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik.

“Ketika mana usahawan-usahawan Cina sanggup mengeluarkan dana untuk menyokong institusi kewartawanan mereka, perkara sebaliknya berlaku dalam kalangan orang Melayu.

“Ada antara usahawan-usahawan Melayu mempunyai keupayaan dana untuk berbuat demikian tetapi sokongan itu sukar untuk dilihat.

“Lebih menyedihkan, kewartawanan Melayu kini sudah jauh ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia yang mana mereka mempunyai semangat cintakan bangsa yang sangat tinggi,” katanya.

Ahmad Murad menambah, berdasarkan kajian yang dilakukan beliau ketika ini, kewartawanan Indonesia semakin berkembang dengan percambahan dan persaingan sihat dalam melontarkan pendapat daripada pelbagai media di sana.

Ujar beliau, perkara itu perlu dicontohi dan diterapkan dalam kewartawanan Melayu dalam negara bagi memastikan institusi tersebut tidak hilang ditelan zaman.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram