Dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan pemergian pemain Piala Presiden Selangor FC, Muhammad Husni Idrus, malam tadi. GAMBAR: PFAM

PEMAIN pasukan Piala Presiden Selangor FC, Muhammad Husni Idrus yang meninggal dunia selepas rebah, malam tadi dipercayai mengalami sesak nafas sehingga terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya telah menerima panggilan pada pukul 9.58 malam mengenai kejadian yang berlaku di Sunway X Park, Petaling Jaya itu.

Bertindak atas laporan, Ku Mashariman memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Sungai Way telah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, anggota polis kemudiannya mendapati Muhammad Husni terbaring atas lantai berhampiran tandas di medan selera berkenaan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 21 tahun dan merupakan pemain bola sepak Piala Presiden Selangor FC.

“Mangsa telah menyertai perlawanan antara Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) III di Padang PKNS, Kelana Jaya.

“Setelah selesai perlawanan, mangsa dan beberapa rakan sepasukan telah ke lokasi kejadian untuk menjamu selera dan kemudiannya mengalami sesak nafas sehingga terjatuh serta tidak sedarkan diri.

Baca artikel berkaitan: Pemain Piala Presiden Selangor FC meninggal dunia

“Mengikut rekod, mangsa mempunyai sejarah penyakit asma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ku Mashariman berkata, jenazah Muhammad Husni telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Siasatan diteruskan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” jelas beliau.

Dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan pemergian pemain meningkat naik itu selepas dilaporkan rebah di sebuah restoran di Petaling Jaya.

Selangor FC dalam kenyataan di Facebook menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Muhammad Husni.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga, Selangor FC juga memohon supaya semua pihak menjaga adab dan privasi keluarganya.

“Kami dari Selangor FC mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan bersama-sama kita mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram