PELAKON Khatijah Tan akui kecewa dan putus asa terhadap industri seni tanah air membuatkan anak sulungnya yang juga pelakon Piere Andre menghilang.
Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre sememangnya nama yang tidak asing lagi dalam industri lakonan tanah air yang mana masih ramai berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Tak dinafikan, ramai bertanya ke mana Pierre menghilangkan diri. Ada yang menyatakan hasrat mahu bekerjasama, saya sendiri pernah berborak mengenai isu ini dengannya.
“Pierre masih rindukan bidang seni seperti berlakon dan mengarah. Namun, perasaan kecewa terhadap industri membuatkannya sudah tidak berminat untuk kembali aktif.
“Saya akui, Pierre seorang yang sensitif dan jangkaannya terhadap industri sangat tinggi. Apabila tidak dapat apa yang dimahukan, itu yang membuatkannya kecewa,” katanya memetik BH Online.
Khatijah turut mengulas tentang anaknya itu sebagai seorang yang kreatif dan dia suka mengetengahkan idea-idea yang menarik namun mungkin disebabkan bertemu dengan orang yang salah telah meninggalkan parut luka pada Pierre.
“Bukanlah niat nak puji anak sendiri, tetapi Pierre seorang yang sangat kreatif. Ada banyak skrip yang dihasilkan, tetapi tak nak jual pada orang lain kerana tidak dapat apa yang dikehendaki.
“Mungkin juga Pierre berjumpa orang yang salah sehingga menyebabkan skrip dan ideanya tidak berkembang serta terbantut menyebabkannya merajuk.
“Agak sukar bekerjasama dengan orang yang boleh faham dengan jiwanya. Ada beza antara orang kreatif dengan bisnes.
“Kita hendak berkarya, tetapi fikiran orang berniaga lain. Bila terdapat banyak kekangan seperti bajet rendah, itu yang membuatkan mereka tidak serasi,” luah Khatijah mengenai anaknya lagi.
Dalam pada itu, Khatijah turut berkongsi perkembangan terbaharunya yang kini sudah masuk tahun kelapan dia tinggal di Ipoh, Perak dan menurutnya lagi sekarang apabila ditawarkan untuk berlakon dia lebih selektif untuk membawakan watak sama.
“Kalau ikutkan, saya sudah tidak berminat berlakon. Ini kerana saya tidak mahu membawakan watak sama seperti ibu.
“Antara sebab mengapa saya terima tawaran berlakon dalam filem Tiga Janda Melawan Dunia ini kerana saya perlu menyanyi rap.
“Jiwa saya lebih kepada keroncong. Apabila orang seperti saya kena menyanyi rap, sudah tentu ia satu cabaran buat saya,” kata Khatijah.
Untuk rekod, Khatijah berkahwin dengan suaminya Nazrul Andre Abdullah dan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Piere Andre, 37, Mikail Andre, 30.