Penduduk Kampung Ganeshpur di daerah Purnia, timur Bihar berdepan gangguan elektrik selama beberapa jam selepas matahari terbenam.GAMBAR HIASAN

HANYA kerana mahu memastikan percintaannya dengan seorang gadis kekal rahsia, seorang lelaki India sanggup memutuskan bekalan elektrik di kampungnya selama beberapa jam hanya untuk berjumpa kekasih hatinya.

Oddity Central melaporkan, selama beberapa minggu, penduduk Kampung Ganeshpur di daerah Purnia, timur Bihar berdepan gangguan elektrik selama beberapa jam selepas matahari terbenam.

Tiada seorang pun penduduk kampung mencurigai gangguan itu berikutan syarikat tenaga tidak pernah melaporkan sebarang masalah pada pencawang selain tiada seorang penduduk kampung berhampiran mengadu masalah serupa.

Mengesyaki ada yang tidak kena dengan kekerapan gangguan itu, penduduk kampung akhirnya memutuskan untuk menyiasat kejadian tersebut yang didapati hanya berlaku pada waktu senja sahaja.

Mereka percaya terdapat individu melakukan khianat dan mahukan jawapan kepada permasalahan itu.

Seperti diduga, gangguan itu berulang dan sebahagian penduduk kampung mula membentuk dan menggerakkan sebuah pasukan memeriksa setiap pelosok kampung.

Akhirnya, mereka menemukan pasangan kekasih itu di luar sebuah sekolah dan semasa disoalsiasat, lelaki yang juga seorang juruelektrik berkenaan tetap cuba sebaik mungkin merahsiakan hubungan tersebut.

Lelaki itu akhirnya mengaku mensabotaj bekalan elektrik kampung itu sebelum dia dipukul, diseksa dan diarak penduduk kampung di jalanan sebagai hukuman kesalahannya.

Bagaimanapun, selepas kisah percintaan mereka diketahui penduduk paling tua di kampung itu, mereka akhirnya bersetuju untuk menyatukan kedua-dua pasangan berkenaan.

“Lelaki itu dikahwinkan dengan gadis idamannya dengan dihadiri ahli jawatankuasa kampung dan penduduk kampung,” kata Marar Ram Murmu kepada Tribune India.

Perkahwinan itu dilaporkan menyelamatkan juruelektrik itu daripada dikenakan tindakan undang-undang, kerana tiada pertuduhan difailkan terhadapnya.

Menurut pegawai polis tempatan, Vikas Kumar Azad, mereka telah mengetahui tentang kejadian itu namun hanya akan bertindak sebaik sahaja menerima aduan.