PENGUKUHAN kewartawanan Melayu dilihat perlu dilakukan di peringkat akar umbi seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Tidak dapat dinafikan masih ramai yang kurang memahami dengan mendalam tentang kepentingan kewartawanan Melayu, sementelahan sejarahnya yang cukup besar dalam pembangunan bangsa dan negara.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk pusat-pusat pengajian tinggi sama ada kerajaan mahupun swasta memperkenalkan subjek khusus berkenaan sejarah kewartawanan Melayu dalam negara.

Itu pendapat yang dilontarkan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican yang mengulas mengenai reformasi kewartawanan Melayu.

Jelas beliau, kurikulum dan tujahan sekolah-sekolah kewartawanan di Malaysia yang mana pertama kali bermula pada 1971 dilihat telah menjauhkan pendekatan terhadap kewartawanan dalam konteks budaya, etnik dan identiti Melayu.

Lebih menyedihkan, beliau berkata, perihal sejarah kewartawanan Melayu sehingga kini tidak diajar di universiti awam mahupun swasta menyebabkan ramai yang gagal memahami konsep sebenar kewartawanan tersebut.

“Sejarah penulis awal seperti tokoh kesusasteraan dan penerbitan Melayu, Abdullah Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah serta liputan berita masalah yang berlaku di Singapura pada 1820-an tidak diajar sedangkan perkara ini relevan untuk kewartawanan Melayu.

“Seharusnya, sekolah-sekolah kewartawanan mengajar selain mengkaji kewartawanan dalam konteks masyarakat Melayu dalam negara dan Kepulauan Melayu terutama sekali di wilaya-wilayah Melayu di Sumatera, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), UIAM.

Baca artikel berkaitan: HAWANA 2022 perkukuh hubungan kerjasama wartawan Malaysia-Indonesia

Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, beliau berharap sambutan HAWANA 2022 akan menjadi satu titik tolak untuk melihat semula amalan dan ilmu kewartananan diperkukuhkan.

Katanya, ilmu kewartawanan itu adalah satu daripada komponen penting yang selari dengan amalan kewartawanan Melayu.

“Setelah kemunculan internet di Malaysia pada 1996 disusuli dengan kemunculan blog dan media dalam talian, serta apa yang dikatakan sebagai citizen journalism, maka perlu dilihat kembali tanggapan kewartawanan dan perlu dididik semula.

“HAWANA pada kali ini sepatutnya melihat kembali isu-isu kewartawanan Melayu selain menyusun atur profesion kewartawanan, melihat kewartawanan sebagai satu profesion yang boleh dipercayai, mempunyai integriti tinggi dan memberi liputan yang boleh dikatakan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Murad berkata, pengamal media dan seluruh masyarakat perlu prihatin terhadap perkembangan media Melayu yang membuat laporan menggunakan bahasa kebangsaan.

Ujar beliau, surat khabar dan sejarah organisasi media yang dimiliki orang Melayu akan dikuasai atau diambil alih oleh bukan Melayu sekiranya keprihatinan itu tidak ditunjukkan.

Jelasnya, sejarah telah membuktikan ada usaha daripada kaum lain yang cuba mengambil alih akhbar Melayu pertama, Jawi Peranakan pada 1895.

“Apa akan terjadi jika surat khabar Melayu yang mencerminkan kewartawanan Melayu pupus atau diambil alih oleh mereka yang bukan Melayu?.

“Ingin saya tekankan kepentingan surat khabar kerana ia saluran penting daripada segi menyalurkan pendapat, berita, hujah dan memberi keyakinan kepada pembaca tentang apa yang sedang dan akan berlaku.

“Asas kepada kewartawanan di Malaysia adalah surat khabar Melayu dan ia adalah elemen dan identiti kewartawanan kita,” katanya.