PELAKON Amar Baharin tidak terlalu risau dan terkesan dengan kontroversi yang terpalit pada rakan industrinya, Amar Asyraf baru-baru ini.

“Buat masa ini belum ada lagi pihak yang keliru atau menyangka saya adalah individu yang dikaitkan dengan berkahwin kali ketiga,” ujarnya memetik Harian Metro.

Apabila tercetus sebuah kontroversi sudah pasti nama yag seakan-akan sama dengan artis tersebut akan terkena tempias, ia merupakan perkara biasa yang terjadi dalam industri.

Sebagai contoh, apabila penyanyi Aliff Aziz sedang diulit kontroversi berkenaan rumah tangganya, Alif Satar turut terkena tempias kecaman netizen akibat daripada nama yang lebih kurang sama.

“Susah sebenarnya hendak menjawab soalan ini. Namun saya cuba sebaik mungkin mengulas kerana benda masih panas dan sensasi.

“Alhamdulillah… Amyra pun tahu itu bukan saya jadi tidak ada apa yang perlu saya risaukan. Setakat ini tidak ada juga yang menghantar mesej peribadi memaki saya atau sebagainya,” katanya lagi.

Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin,36, itu turut berkongsi jika ada sesetengah pihak yang keliru antara dia dan Amar Asyraf.

“Dulu pernah juga ada yang menelefon untuk memberi tawaran lakonan. cuma tersilap kerana hendak beri tawaran kepada Amar Asyraf dan bukan saya,” katanya.

Pada masa sama, pelakon terkenal Amar Asyraf kini kembali timbul dengan kontroversi apabila didakwa sudah berkahwin kali ketiga.

Sekeping foto dia bersama wanita dan dua cahaya mata tular di laman sosial dan netizen mula membuat spekulasi bahawa anak tersebut adalah hasil daripada perkahwinan mereka.

Untuk rekod, Amar dan Amyra Rosli telah mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Aqeef Anaqi, 4, dan Ayra Aryssa, 2.