Annuar Musa ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri KKMM di Putrajaya hari ini./Gambar BERNAMA

SEMUA pihak perlu menghormati keputusan dan pendirian Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata soal peletakan jawatan dalam parti itu adalah hak individu dan urusan sebuah parti yang lain.

“Saya belum berpeluang untuk bercakap sendiri dengan rakan sejawat saya yang sama-sama menganggotai Kabinet, jadi saya tidak dapat beri banyak komen.

“Cuma yang saya tahu, Zuraida adalah seorang anggota Kabinet yang cukup aktif dan beliau sangat berjaya dalam menguruskan hal kementeriannya dan seorang yang telah tunjukkan prestasi yang baik dalam perkhidmatan beliau,” kata Annuar ketika diminta mengulas keputusan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata semua orang berhak membuat jajaran politik masing-masing, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Baca: PBM teruja, sahkan terima permohonan Zuraida

Zuraida sertai PBM, akan letak jawatan menteri

Terdahulu, Zuraida mengumumkan menyertai PBM kerana mempercayai perjuangan parti itu dan tertarik dengan enam prinsip terasnya.

Ditanya sama ada UMNO akan menjalin kerjasama dengan PBM bagi menghadapi PRU15, Annuar berkata UMNO perlu bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan parti-parti lain yang mempunyai aspirasi perjuangan yang sama terutamanya bagi membela kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

“Saya berpandangan UMNO kena ambil sikap terbuka sepanjang masa. Pendirian saya dari dulu tidak berubah kerana saya berpandangan UMNO itu mesti menjadi tonggak kepada penyatuan parti-parti lain.

“Sebagai anggota parti, walaupun berbeza pendapat tetapi akhirnya apabila parti membuat keputusan, kita mesti akur dengan keputusan dan pendirian parti,” katanya.

— BERNAMA