dibogelkan telefon pintar

“The Truman Show” sebuah filem yang dibintangi aktor terkenal Jim Carrey suatu ketika dahulu, telah membawa satu dimensi baru. Kisah yang dipertontonkan ini menyorot tentang betapa teknologi mampu menelanjangkan ruang privasi seseorang hingga menjadi tatapan umum.

Filem hasil garapan Peter Weir menceritakan tentang kisah hidup Truman Burbank yang tidak menyedari kehidupannya yang dirasakan normal, rupanya hanyalah sebuah ilusi yang dicipta daripada sebuah rancangan TV (reality show) yang menjadi tatapan seluruh dunia. Selama 30 tahun kehidupannya disiarkan melalui televisyen tanpa dia menyedarinya.

Filem yang ditayangkan pada tahun 1998 ini, dilihat seperti satu sindiran kritis kepada masyarakat yang mewakili zaman kini, atas perkembangan teknologi dan komunikasinya yang berjalan dengan begitu deras.

Hakikatnya tanpa disedari, kita juga sebenarnya memainkan watak seperti Truman Burbank. Bezanya kehidupan Truman adalah ilusi yang dicipta, sebaliknya hidup kita di atas realiti. Namun persamaannya, setiap tindakan dan kehidupan kita hari ini ditatap dan diketahui masyarakat seluruh dunia tanpa sekatan. Kemajuan inilah yang menyebabkan setiap privasi kita ditelanjangkan sehabisnya, sehingga tiada lagi ruang untuk ditutup.

Persoalannya, bagaimana mereka yang tinggal di hujung dunia, mengetahui setiap tindakan dan segala aktiviti yang kita lakukan? Adakah di sekeliling kita terdapat hampir lima ribu kamera sebagaimana dalam filem tersebut?

Jawapannya tidak lain, lihat sahaja dalam poket seluar, sudah pasti yang ada ialah telefon pintar yang menjadi teman setia ke mana sahaja berada. Dengan keupayaan aplikasi dan ciri-ciri yang tersedia dalam telefon pintar, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengguna untuk berhubung selain mengetahui apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang. Bak kata orang sekarang, dunia di hujung jari.

Menurut Dr. Iskandar Ishak, Pensyarah Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), telefon pintar yang berada di pasaran ketika ini mempunyai ciri-ciri seperti sebuah komputer, kerana dilengkapi sistem pemprosesan yang tersendiri. Dalam kata yang paling mudah ialah, komputer skala kecil yang boleh dibawa ke mana sahaja.

Teknologi telefon pintar dikembangkan dengan fungsi yang pelbagai sebagai tarikan dan kemudahan pengguna. Antaranya kamera berdefinasi tinggi yang boleh merakam imej dan suara, boleh akses kepada Internet untuk web, e-mel, laman sosial dan sebagainya, muat turun lagu, menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video dan banyak lagi. Ia dijanakan melalui syarikat-syarikat telco seperti Maxis, Celcom, Digi atau melalui teknologi wifi.

Teknologi yang terdapat pada telefon pintar sememangnya memudahkan pengguna, akan tetapi dalam masa yang sama, ia bisa menelanjangkan privasi sama ada kita sedari atau tidak.

Tegas Iskandar Ishak, sebagai pengguna seharusnya mereka perlu menyedari, melalui teknologi telefon pintar, kita sebenarnya telah berkongsi segala maklumat kepada pihak lain. Dalam erti kata lain, terdapat dua cara bagaimana segala maklumat kita diketahui oleh pihak ketiga, iaitu secara langsung atau tidak langsung (yang sedar atau tidak).

Maklumat yang dikongsi secara langsung berlaku dalam keadaan kita sedar bahawa kita telah memberikan segala maklumat kepada pihak ketiga. Biasanya berlaku tatkala memuat turun aplikasi yang ditawarkan dalam telefon pintar, seperti permainan video atau software. Sebelum memuat turun dilakukan, lazimnya pengguna perlu mengisi segala maklumat diri yang dikehendaki, barulah muat turun berjaya dilakukan.

Manakala secara tidak langsung, berlaku tatkala berkongsi gambar di laman sosial melalui telefon pintar ketika Global Positioning System (GPS) dalam mod aktif. Keadaan ini telah mendedahkan lokasi di mana kita berada, tatkala gambar diambil melalui aplikasi geotagging.

Inilah namanya dunia tanpa sempadan. Kerana itu Islam sangat menitik beratkan agar umatnya sentiasa berhati-hati dan elakkan dari berkongsi atau mendedahkan diri kepada bahaya fitnah atau pun bahaya fizikal. Jangan nanti bila sudah terkena barulah rasa menyesal.

Akal dan hati yang Allah kurniakan adalah anugerah bagi memandu kita menjadi insan yang waras dalam berfikir dan cakna dalam bertindak sesuai dengan fitrah sebagai manusia bersandingkan pada syariat Islam. Apa yang penting jadikanlah al-Quran dan al-hadis sebagai panduan, insya Allah kita akan terjaga dari sebarang perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Wallahu a’lam

___________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare