MPI akan menganjurkan Forum Media Nasional yang bakal menampilkan enam tokoh media tempatan selaku ahli panel sempena HAWANA 2022, Ahad ini.

INSTITUT Akhbar Malaysia (MPI) akan menganjurkan Forum Media Nasional yang bakal menampilkan enam tokoh media tempatan selaku ahli panel sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka, Ahad ini,.

Forum bertemakan ‘Kewartawanan dan Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang’ itu akan diadakan pada sebelah pagi HAWANA 2022.

Forum Media Nasional itu yang dijangka menarik penyertaan 80 peserta terdiri daripada pengamal media dan pelajar kewartawanan bakal mengupas isu profesion tersebut pada era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) ketika ini.

Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) MPI, Norlida Jamian berkata, keenam-enam ahli panel itu akan berkongsi pengalaman mengendai model perniagaan media yang sesuai demi kelangsungan dunia kewartawanan.

Menurut beliau, ia selaras dengan proses pendigitalan; kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan robotik dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk kewartawanan.

“Ahli-ahli panel forum telah kami pilih untuk mencerminkan ekosistem semasa landskap media di Malaysia yang mewakili kewartawanan alam nyata dan alam maya.

“Sekarang bukan masa untuk kita bernostalgia dengan kegemilangan kewartawanan silam tetapi sebaliknya mempersiapkan organisasi dengan ilmu dan pengetahuan bagi kelangsungan masa depannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: HAWANA 2022: Persatuan wartawan perlu lebih agresif latih pengamal media

Enam orang tokoh yang akan bertindak selaku ahli panel dalam Forum Media Nasional itu adalah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Pengarah Kumpulan Media Mulia, Azlan Jaafar; Pengarah Editorial Free Malaysia Today, Jasbant Singh Pratap Singhdan bekas Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Selain itu, forum tersebut juga akan menampilkan Wartawan Kanan Daily Express, Hayati Dzulkifli.

Tidak ketinggalan, ahli akademik tersohor dalam bidang kewartawanan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican turut diundang sebagai ahli panel.

Dua orang wartawan berpengalaman, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini, Datuk Seri Abd. Jalil Hamid serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya pula akan bertindak selaku moderator bagi forum dua sesi tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dijangka menyampaikan ucapan penutup manakala Pengerusi HAWANA 2022 yang juga Presiden Ikatan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), Datuk Mokhtar Hussain akan menyampaikan ucapan aluan dalam forum berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram