Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam usaha menganjurkan program Pesta Angin Timur Perlis 2022 @ Hibrid (PAT 2022 @ Hibrid) edisi ke-10 yang berlangsung pada 21 dan 22 Mei 2022 (Sabtu & Ahad).

PAT pada tahun ini dilaksanakan secara hibrid dan disiarkan secara maya melalui platform digital JKKN iaitu Facebook Page JKKN TV.

Semua kandungan sepanjang dua hari program berlangsung telah pun dirakam terlebih dahulu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Acara perasmian dilaksanakan secara fizikal bertempat di Kompleks JKKN Perlis pada 21 Mei yang lalu.

JKKN sentiasa berusaha dalam menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan kesenian serta warisan tradisi rakyat Malaysia melalui aktiviti dan pengisian yang dilaksanakan PAT 2022 @ Hibrid kepada generasi muda agar ia tidak ditelan zaman dan pada masa yang sama, dapat mempromosikan gaya hidup sihat melalui acara-acara yang dianjurkan.

PAT 2022 @ Hibrid dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Kesenian JKKN Perlis seperti tarian kesenian Negeri Perlis, persembahan kesenian Siam, deklamasi sajak berkisarkan bendang serta persembahan nyanyian oleh artis-artis tempatan. Persembahan kesenian autentik negeri Perlis seperti teater Hadrah, Ali Bunyi dan Ghazal Party turut disusun sebagai pengisian PAT 2022 @ Hibrid.

Program ini turut dilengkapi dengan persembahan khas oleh artis jemputan iaitu Ezad Lazim.

Sepanjang dua hari penganjuran PAT 2022 @ Hibrid, pelbagai program sisipan telah disusun untuk para penonton antaranya beberapa siri dokumentari seperti Pembuatan Pekasam Perlis, permainan Cakplong, Pembuatan Baju Kurung Perlis, Kerbau Besi dan Si Penjerat Burung Bendang.

Selain itu, turut dipaparkan dokumentari tokoh dan penggiat seni negeri Perlis. Antaranya ialah Tharumaraj – Permata Seni Perlis, Pak Yaakob- Seniman Serba Boleh, Mencari Tokoh- Pak Romli Si Awang Batil dan Pak Yus Dalam Kenangan.

Di samping itu, diselitkan juga segmen Jualan Produk yang mana pelbagai produk-produk usahawan negeri Perlis akan dipromosikan dan dijual secara dalam talian. Program ini juga akan memaparkan segmen Imbasan PAT di mana Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Asmaiza Ahmad bercerita mengenai penganjuran Pesta Angin Timur bermula 2014 sehingga kini.

Program ini turut dilengkapi dengan segmen Forum Santapan Rohani yang akan diserikan dengan kehadiran Ustaz Shamsul Debat dan Da’i Aiman.

PAT 2022 @ Hibrid dirasmikan secara bersama oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pada 21 Mei baru-baru ini.

“Matlamat utama pesta ini adalah untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan negeri Perlis serta menyemarakkan kesenian, kebudayaan dan tradisi masyarakat tempatan kepada masyarakat luar.

“Di samping itu, ianya sebagai satu usaha menjadikan negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang masih utuh dengan mempamerkan kesenian tradisional sebagai tarikan kepada pelancong,” ujar Nancy.

Program Pesta Angin Timur Perlis menurutnya juga, banyak menyumbang kepada penjanaan pendapatan negara serta merancakkan rantaian ekosistem sektor yang terlibat.

Pada 2020 Pesta Angin Timur Perlis telah mencatatkan pulangan pendapatan berjumlah RM492,000 dengan kehadiran orang ramai 127,160 sepanjang tiga hari pelaksanaannya.

Pencapaian ini telah menunjukkan peningkatan berbanding 2019 yang mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM 481,000 dan khalayak seramai 122,182 orang.

“Saya bangga dengan pencapaian PAT2021 @ online tahun lalu kerana walaupun dilaksanakan secara maya selama hanya dua hari, acara yang mendapat sambutan luar biasa khalayak antarabangsa ini berjaya menjana pulangan yang tidak jauh bezanya dengan pulangan semasa penganjuran secara fizikal pada tahun-tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM 468,540.00 melalui syarikat telekomunikasi atau TELCO.

“Jumlah khalayak yang hadir secara maya pula adalah seramai 82,200 orang termasuk pelancong luar negara yang telah mengikuti perkembangan Pesta Angin Timur Perlis sebelum ini,” katanya lagi.