Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat bertemu dan bertanya khabar keadaan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Majlis Makan Malam Persidangan Nikkei, semalam.

WALAUPUN berbeza fahaman politik, namun itu tidak menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni Tun Dr. Mahathir Mohamad di Tokyo.

Kedua-dua pemimpin itu berjumpa semasa Majlis Makan Malam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei, malam tadi.

Menurut Ismail Sabri, beliau sempat meluangkan masa bertemu dan bertanya khabar bekas Perdana Menteri ketujuh itu.

“Sempat bertemu dan bertanya khabar keadaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir semasa Majlis Makan Malam Persidangan Nikkei di Tokyo, malam tadi.

“Kami berdua telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nikkei ke-27 yang bermula semalam.

“Dr. Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu pagi ini manakala saya telah menyampaikan ucaptama, pagi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sekarang bukan masa dunia terus berbelah pendirian – PM

Dihoskan Nikkei Inc. setiap tahun sejak 1995, persidangan itu menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan bagi berkongsi visi untuk masa depan Asia.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Jepun selama enam hari sehingga Sabtu ini.

Lawatan pertama Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu itu juga merupakan lawatan paling berprofil tinggi ke negara matahari terbit itu selepas lebih dua tahun susulan sekatan pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

Selain dijemput menghadiri dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Nikkei, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu rakan sejawatnya, Fumio Kishida yang baru memegang jawatan itu Oktober lalu.

Ismail Sabri juga sempat mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Rabu lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram