SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan tetap mempamerkan prestasi terbaik biarpun terlepas peluang menjelmakan kilauan pingat. GAMBAR: FAM

SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan tetap mempamerkan prestasi terbaik biarpun terlepas peluang menjelmakan kilauan pingat buat negara pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) mengklasifikasikan sukan bola sepak lelaki sebagai gagal dalam rangkuman prestasi kontinjen negara di Vietnam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berpendapat nasib mungkin tidak menyebelahi Malaysia sehingga menyebabkan skuad B-23 pulang dengan tangan kosong.

“Saya rasa MSN sifatkan sukan bola sepak gagal kerana tidak berjaya meraih sebarang pingat…mereka semestinya ada KPI (petunjuk prestasi utama) mengenai apa yang dianggap gagal.

“Bagi kita (FAM), prestasi (skuad B-23) sudah baik namun nasib tidak menyebelahi kita malah ia juga merupakan pendedahan yang baik buat pemain sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, bulan depan,” katanya.

Mohd Saifuddin berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Jelasnya, Malaysia sepatutnya berbangga kerana mereka merupakan satu-satunya pasukan yang tidak membariskan pemain berusia 23 tahun ke atas walaupun setiap negara dibenarkan mendaftarkan tiga pemain daripada kelompok umur tersebut.

Baca artikel berkaitan: Sukan SEA: Malaysia kempunan gangsa, Marc Klok jadi duri dalam daging

Dalam perlawanan pingat gangsa Ahad lepas, Malaysia tewas 3-4 kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam perlawanan selama 90 minit yang memaksa pemenang ditentukan melalui ‘loteri’ tanpa memasuki masa tambahan 30 minit.

Keputusan itu bermakna skuad negara gagal meraih sebarang pingat pada Sukan SEA buat kali kedua berturut-turut selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merangkul pingat perak pada edisi Kuala Lumpur 2017.

Kali terakhir Malaysia memenangi ‘ibu segala pingat’ Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia.

Anak buah ketua jurulatih Brad Maloney berpeluang untuk menebus kekecewaan mereka di Sukan SEA Hanoi dengan menumpukan pusingan akhir Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama juara 2020 Korea Selatan, naib juara 2018 Vietnam dan Thailand.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram