naik 5 sen
Sudah tiba masanya Kerajaan mencari alternatif kepada subsidi menyeluruh ini dan memastikan pengagihan bantuan yang lebih saksama dan bersasar. - Gambar hiasan

SAUDARA Pengarang,

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pendedahan bahawa mereka yang berpendapatan tinggi merupakan penerima utama program subsidi bahan api Kerajaan. Daripada anggaran RM4 bilion yang dibelanjakan oleh Kerajaan untuk subsidi bahan api antara Januari dan Mac tahun ini, lebih separuh daripadanya dinikmati oleh kumpulan T20 ini yang merupakan 20 peratus teratas orang terkaya dalam negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk subsidi bahan api, 53 sen dinikmati oleh kumpulan T20 ini, manakala dan hanya 15 sen dinikmati golongan B40 yang merupakan kelompok 40 peratus terbawah dari segi pendapatan.

Ini bermakna lebih RM15 bilion subsidi bahan api akan disalurkan kepada isi rumah terkaya di negara ini kerana Kerajaan dijangka membelanjakan lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini,

Ini tidak masuk akal! Subsidi kerajaan adalah untuk golongan yang memerlukannya. Golongan M40 dan B40 lebih memerlukannya berbanding orang kaya.

Patutkah seseorang yang memandu kereta BMW untuk membawa keluarga bercuti di pusat peranginan pantai yang mewah, menikmati subsidi bahan api sama seperti seseorang yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan motosikal buruk dan hanya dibayar gaji minimum?

Apabila sempadan negara kita dibuka semula baru-baru ini, ramai yang marah apabila beberapa kenderaan berdaftar di Singapura dilihat mengisi minyak RON95 di stesen minyak. Ini berlaku kerana RON95 mendapat subsidi yang sangat besar daripada Kerajaan Malaysia manakala RON97 tidak disubsidi.

Baca artikel berkaitan: “Pemilik BMW tidak boleh nikmati subsidi minyak sama dengan Kancil” – Azmin

Kita tidak puas hati kerana ada segelintir rakyat Singapura yang ingkar, mengambil kesempatan daripada subsidi bahan api yang ditujukan untuk rakyat Malaysia sahaja. Mereka yang datang dari negara yang lebih kaya seperti Singapura, tidak sepatutnya menikmati subsidi ini yang ditanggung dengan wang cukai rakyat Malaysia.

Hujah yang sama juga patut digunakan untuk rakyat Malaysia. Mengapakah T20 perlu menikmati subsidi bahan api, malah mendapat lebih daripada mereka yang berpendapatan rendah? Ini tidak masuk akal kerana subsidi adalah satu bentuk pengagihan kekayaan. Jika kita dapat mengurangkan jumlah subsidi yang dinikmati oleh T20, penjimatan itu boleh digunakan untuk membantu kumpulan B40 dan M40 dalam mewujudkan satu masyarakat yang lebih saksama.

Saya faham Kementerian Kewangan dan Kerajaan sekarang telah mewarisi sistem subsidi ini. Terpaksa diakui, kita memang sudah dibiasakan untuk menerima subsidi. Sistem ini mungkin berkesan pada masa lalu tetapi tidak sesuai lagi sekarang.

Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia menikmati harga petrol yang antara termurah di rantau ini. Di Thailand, seliter RON95 adalah sekitar RM6. Di Singapura, lebih kurang RM9.30, manakala di Malaysia, ia berharga sekitar RM2. Mana-mana pakar ekonomi pun akan berkata bahawa subsidi yang berpanjangan adalah tidak cekap dan tidak produktif. Semakin lama ia kekal, semakin sukar untuk melepaskan rakyat Malaysia daripada ‘ketagihan subsidi’.

Disebabkan ketegangan geopolitik semasa, harga minyak dunia telah mencecah paras tertinggi dalam lima tahun terakhir. Malangnya, pendapatan tambahan daripada minyak ke dalam tabung Kerajaan ‘dibatalkan’ atau ‘dineutralkan’ dengan subsidi minyak ini. Jangan lupa, kerajaan juga memberi subsidi untuk ayam dan telur, serta untuk tarif elektrik.

Tabung Kerajaan bukanlah satu lubang yang tidak berdasar. Bantuan Kerajaan ada hadnya, terutamanya setelah banyak dibelanjakan dalam dua tahun yang terakhir ini untuk membantu rakyat dan ekonomi semasa pandemik Covid-19. GST yang pernah memberi pendapatan tambahan yang besar kepada negara, juga telah dimansuhkan pada 2018.

Sudah tiba masanya Kerajaan mencari alternatif kepada subsidi menyeluruh ini dan memastikan pengagihan bantuan yang lebih saksama dan bersasar.

Mekanisme subsidi bahan api yang digunakan sekarang tidak dapat diteruskan untuk jangka masa panjang. Ia tidak adil dan sebenarnya merugikan kumpulan berpendapatan rendah.

Kita tidak patut membuang masa lagi dalam mencari penyelesaian yang lebih mampan yang akan membantu rakyat kita dan meningkatkan daya tahan fiskal negara untuk jangka panjang.

Rosli Bakar
Muar

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram