Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar (dua dari kiri) salah seorang panel pada Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2022) di Hotel Hatten, Melaka, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SUDAH tiba masanya untuk wartawan diangkat sebagai kerjaya profesional dalam negara.

Pandangan itu dilontarkan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican yang menjadi panel dalam Forum Media Nasional di Melaka, hari ini.

Menurut Ahmad Murad, wartawan perlu diangkat sebagai kerjaya profesional memandangkan letusan teknologi yang membawa perubahan kepada landskap industri media dalam negara.

“Perubahan teknologi yang telah memperkasa peranan media baharu merupakan antara cabaran dihadapi dalam profesion yang hampir 200 tahun menjadi cerminan masyarakat dalam negara ini.

“Wartawan perlu bincang status profesionalisme, pentauliahan, akreditasi, kelayakan walau pun semua orang boleh jadi wartawan tetapi tidak semua mampu jadi wartawan profesional,” katanya dalam forum berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bergambar berama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya serta tokoh-tokoh Wartawan Negara selepas Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2022) di Hotel Hatten, Melaka, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Turut hadir ialah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Pengarah Editorial Free Malaysia Today, Jasbant Singh Partap Singh;

Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd, Azlan Jaafar dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.com, Premesh Chandran.

Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, persatuan wartawan di peringkat nasional sepatutnya ditubuhkan bagi membincangkan garis panduan dan kod etika kewartawanan agar dipersetujui dan menjadi pegangan seluruh wartwan dalam negara.

Ujarnya, hal itu memandangkan perlu ada pihak yang mengangkat profesion berkenaan mengikut kriteria tertentu agar integriti kewartawanan negara mampu dipertingkat sekali gus memperbaiki kualiti kewartawanan.

Sementara itu, Mohamad Azlan berkata, sudah tiba masa kerajaan memperkenalkan mekanisme cukai kepada penyedia platform enjin carian seperti Google ketika ini.

Menurut Mohamad Azlan, hal itu memandakang penyedia platform itu telah mengaut keuntungan besar daripada syarikat-syarikat media dalam negara.

“Kalau kita lihat platform enjin carian dilihat membuat keuntungan mudah tanpa perlu memikirkan sebarang kandungan, sebaliknya syarikat media tempatan pula yang menanggung bebanan besar termasuk kos operasi.

“Di negara-negara EU mereka melaksanakan undang-undang yang memaksa platform bayar balik kepada penyedia kandungan. 

“Australia contohnya laksanakan perkara yang sama. Saya rasa Malaysia pun kena fikirkan, kalau kita nak ada industri media yang melonjak, yang kita boleh banggakan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram