KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) meminta syarikat yang mengimport mentega kacang berjenama Jif supaya menarik balik produk tersebut di pasaran.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) meminta syarikat yang mengimport mentega kacang berjenama Jif supaya menarik balik produk tersebut di pasaran.

Ia susulan penarikan balik produk mentega kacang jenama Jif itu dari pasaran Amerika Syarikat (AS) kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik itu melalui notifikasi yang diterima dari International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN).

Menurut beliau, notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang Jif dengan nombor kumpulan antara 1274425 hingga 2140425.

Katanya, ia hanya melibatkan tiga digit terakhir 425 yang ditarik balik kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella.

“Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Malaysia.

“Melalui semakan KKM ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk Jif tersebut telah diimport ke negara ini.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: KKM sedia beri kerjasama terhadap SPRM isu perolehan Covid-19

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor kumpulan antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta.

Beliau berkata, pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor kumpulan terlibat juga diminta tidak memakan produk berkenaan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sebarang maklumat atau kemusyikal berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram