perjalanan seorang Yahudi
Foto kemenangan perang 6 Hari para jeneral Israel bersama Presiden Israel, Zalman Shazar. (koleksi Miko Peled)

Perkara yang paling penting dalam rancangan itu adalah untuk membunuh perasaan takut yang berakar umbi di dalam dirinya bahawa Palestin adalah pengganas.

Tempat pertama yang ingin dituju adalah kawasan A iaitu kawasan larangan untuk warganegara Israel tapi tentera boleh memasuki kawasan itu dengan alasan untuk menangkap kumpulan militan. Miko memandu sendirian di bandar Galilee, Tebing Barat menggunakan kereta yang bernombor pendaftaran Israel.

Sesiapa saja yang terpandang nombor pendaftaran keretanya pasti akan dapat mengenalinya warganegara Israel yang bila-bila masa saja akan dibunuh oleh penduduk Palestin.

Dengan debaran yang makin kuat menghentam dada, Miko terus memandu sambil membayangkan pengganas sedang mengintipnya di sebalik selekoh tajam menyusuri kaki bukit.

Pemanduannya sampai ke sebuah perkampungan yang bernama Bil’in. Fikirannya mula memikirkan perkara yang buruk, adakah dia sudah gila kerana menyusuri kawasan yang menjadi larangan bagi penduduk Israel.

Baca artikel berkaitan: siri 1 Perjalanan seorang Yahudi menentang Israel

Bagaimana nanti jika dia dibunuh?  Dalam keadaan takut-takut Miko terus memandu hingga ke suatu tempat yang telah dijanjikan untuk bertemu seorang kawan dengan selamat. Ternyata propaganda Israel yang mengatakan bahawa penduduk Yahudi yang memasuki kawasan itu akan dibunuh oleh penduduk Palestin ternyata tidak benar.

Miko hanya ditahan polis Israel kerana menceroboh kawasan larangan bagi orang Israel namun akhirnya dilepaskan setelah dikenal pasti sebagai warganegara. Kata-kata yang dilontarkan oleh polis benar-benar mengejutkannya. Dengan bersahaja polis yang menahannya memberitahu tentera,

“Dia warganegara Israel dan ada hak untuk masuk ke kawasan ini. Dia bukan orang Palestin yang boleh saya bantai dan sumbatkan ke penjara.”

Hatinya mula berbisik, begitu sekali layanan Israel kepada penduduk Palestin yang tidak memiliki hak apa-apa walaupun untuk memungut sampah apa lagi memiliki pasport. Keadaan itu menguatkan azamnya untuk berbakti memperjuangkan keamanan Israel – Palestin mengikut jejak ayahnya.

Miko mula menjadi aktivis di kem pelarian Palestin, mengajar seni mempertahankan diri untuk kanak-kanak Palestin agar mereka boleh berhadapan dengan kekejaman bukan dengan melawan tetapi dengan menunjukkan keberanian dan kepahlawanan.

Ternyata perjalanannya kembali ke bumi Palestin memberikan satu ingatan yang cukup romantik, terimbau memori ketika bersama ayahnya. Semua kenangan indah itu diabdikan dalam sebuah buku berjudul, The General’s Son: Journey of an Israeli in Palestine.

Foto Miko Peled sewaktu ditahan tentera Israel

Bersama semangat yang tidak pernah luntur, Miko terus memperjuangkan nasib bumi Palestin. Dia mahu dunia membuka mata dan melihat dengan lebih jelas perancangan Israel yang sekadar mahu menghapuskan hak rakyat Palestin di bumi mereka sendiri.

Penglibatan Miko dalam memperjuangkan keamanan bukan perkara baru. Ia bagaikan darah yang mengalir di dalam tubuhnya penuh dengan semangat cintakan keamanan. Ayahnya Mattityahu Peled pernah menyertai perang 1948 dan menjadi jeneral ketika perang 1967.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga Zionis namun banyak tindak tanduk Israel yang tidak dipersetujui. Salah satunya perang 1967. Beliau mengusahakan satu siasatan jenayah perang ke atas Israel, namun kerajaan memandangnya sebagai suatu perkara yang remeh.

Kekecewaan itu telah membawa Mattityahu berpaling tadah, memilih untuk menjadi pejuang keamanan dan aktif mengadakan rundingan PLO. Bagi Mattityahu, tindakan Israel merampas Tebing Barat, Gaza, Sinai dan Golan semasa perang 1967 sebagai kempen perluasan wilayah.

Bagi rakyat Palestin, perjuangan Mattitayahu menimbulkan semacam keraguan sama ada untuk menggambarkannya sebagai pembela atau pemusnah. Sama ada untuk disayangi atau dibenci. Namun rakyat Palestin tetap mengelarnya Abu Salam (Bapa Keamanan).

Semangat pejuang keamanan itulah yang mengalir dalam darah Miko, sanggup melepaskan segala-galanya untuk memberi tumpuan kepada gerakan keamanan. Menjadikan penulisan sebagai medan untuknya menyerang kekejaman yang dilakukan Israel, menuntut hak rakyat Palestin dan menggesa diruntuhkan tembok yang memisahkan antara Israel dan Palestin.

Pada 2012, Miko menjual sekolah seni mempertahankan diri di Coronado, California yang ditubuhkan sejak 1989 untuk memberi tumpuan sebagai aktivis keamanan. Sebelum itu dia telah menubuhkan yayasan Elbanna-Peled (2010) untuk memberi bantuan kemanusiaan, pendidikan dan penyelesaian konflik Israel-Palestin.

Foto Miko Peled bersama Syukri Abu Baker

Kenapa perbincangan perdamaian selalu gagal? Baginya perbincangan yang dilakukan untuk menamatkan kekejaman Israel selalu gagal kerana kebanyakannya lupa untuk bertanya adakah Israel dan Palestin itu sebuah negara atau dua negara berbeza?

Bagi Miko, apabila bercakap tentang rundingan perdamaian ia mestilah melibatkan persengketaan dua buah negara atau lebih. Dan, persengketaan itu diakhiri dengan perdamaian. Namun dalam kes ini, Israel dan Palestin bukanlah dua negara berbeza tetapi sebuah negara yang sama dengan dua nama berbeza.

Israel dan Palestin adalah satu negara yang diperintah oleh kerajaan Israel. Dua bangsa yang berbeza diperintah mengikut peraturan Israel, sebuah negara dan satu pasukan tentera.

Ia bukan peperangan antara dua buah negara atau dua bangsa. Sebab itulah rundingan perdamaian selalunya gagal. Kegagalan rundingan itu kerana mereka tidak menyelesaikan masalah yang betul sebaliknya mereka cuba untuk mencipta tanggapan bahawa ada masalah yang perlu diselesaikan, itulah silapnya.

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare