Gambar Hiasan.

KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) terus menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 65,535 kes dilaporkan pada hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (28 Mei 2022).

Ketua Pengarah Kesihatan Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, data itu sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh sama pada 2021 iaitu 2,333 kes.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 dengan kes sebanyak 29,846, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 kali ganda.

“Sehingga 28 Mei 2022, Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27 peratus), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 8,088 kes (12.34 peratus), Perak 5,810 kes (8.87 peratus), Kelantan 4,905 kes (7.48 peratus), dan Sabah 4,077 kes (6.22 peratus).

“Sebanyak 59,831 kes HFMD (91 peratus) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dan 4,593 kes (7 peratus) adalah kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: HFMD: 105 Tabika, 75 Taska kendalian Kemas ditutup

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, survelan enterovirus pula mendapati tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun ini.

Jelas beliau, tiga virus tersebut adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

“Sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71.

“Manakala kes ketiga dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut. Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei untuk pemantauan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 502 wabak (33.4 peratus), diikuti Selangor 172 wabak (11.4 peratus) dan Perak 168 wabak (11.2 peratus).

Jelasnya, majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak (61 peratus) diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (3 peratus).

Ujar beliau, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

“Sehingga 29 Mei, sebanyak 1,174 premis taska/ tadika/ tabika/ pra-sekolah telah ditutup; iaitu 228 premis secara sukarela dan 946 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Manakala, sebanyak 715 premis (61 peratus) telah pun dibuka semula setelah pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati langkah basmi kuman telah diambil dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan yang lain telah dilaksanakan oleh premis tersebut,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram