GAMBAR: Abd Razak Aid

MAKANAN kebangsaan atau national dish bagi Singapura adalah Nasi Ayam Hainan – meskipun republik itu bergantung ayam dan beras dari sumber import.

Selain Malaysia, republik itu mengimport ayam yang banyak dari Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

Meski pun begitu, nasi ayam Hainan yang lazat hingga dikenali dunia perlu menggunakan ayam segar dan Malaysia adalah pembekalnya.

Mulai hari ini, Malaysia melarang eksport ayam ke Singapura dan ini menjadikan nasi ayam Hainan di republik itu dikhuatiri berubah rasa.

Ini apabila mereka perlu menggunakan ayam sejuk beku yang diimport dari benua Amerika dalam hidangan tersebut.

Buat masa ini, itu lah pilihan yang ada buat rakyat negara itu.

Malaysia sendiri perlu menstabilkan bekalan ayam di pasaran setelah ramai rakyatnya mengeluh sejak dua minggu lalu mengenai ayam tak ada.

Pukul 8 pagi sampai pasar pun ayam dah habis, apatah lagi kalau jam 9 baru sampai di pintu pagar pasar.

Baca: Harga makanan dunia naik 30 peratus lapor FAO, moga RON95 kita kekal

Itu belum cerita pergi restoran makanan segera terkenal tak ada ayam goreng.

Memang sulit kisah ayam. Bila dikawal harganya, timbul pula masalah bekalan.

Walhal kerajaan bukan kawal sahaja sebaliknya ada pemberian subsidi sebanyak 60 sen sekilo kepada pengeluar.

Apa pun sejak larangan eksport ayam ke Singapura dikeluarkan, bekalan protein itu semakin pulih dalam tempoh tiga empat hari lalu.

Diperhatikan pada Ahad, ayam segar di Lembah Klang boleh didapati di kedai-kedai runcit walau jam sudah memasuki tengah hari.

Soal ada caj potong jangan diambil pusing sangat jika mahukan ayam apatah lagi jika ada tetamu bertandang di penghujung Syawal.

Nampaknya langkah menstabilkan bekalan ayam menerusi larangan eksport mula menampakkan hasil.

Manakan tidak, 34 peratus daripada bekalan ayam untuk lima juta penduduk Singapura datangnya dari Malaysia.

Maka, larangan itu memang mujarab mengubati masalah ayam kurang di Malaysia.

Ketika ini soal harga jadi perhatian. Kerana ayam tidak mampu dikawal sepanjang masa apatah lagi meneruskan pemberian subsidi.

Dalam tempoh ini, harga ayam di negara pengeluar ayam terbesar seperti Brazil dan Thailand juga berdepan kenaikan.

Kenaikannya bukan sedikit, harga ayam pada April menyaksikan kenaikan hampir berganda dalam tempoh sedekad seperti mana laporan Bloomberg bulan lalu.

Banyak faktor digariskan dan sebahagiannya sudah diulang-ulang seperti harga makanan dan wabak penyakit kepada babi (yang menyebabkan peningkatan permintaan kepada ayam).

Walau diulang-ulang, ini adalah hakikat. Harga jagung yang menjadi bahan utama makanan penggemuk ayam mencatatkan harga tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada April lalu.

Puncanya kerana pengeluaran rendah dan ini dikaitkan dengan faktor cuaca dan perubahan iklim dunia.

Begitulah, apa yang berlaku di Brazil juga ada kesan langsung kepada kita di Malaysia.

Cuma apa yang mampu dilakukan? Ayam adalah sumber protein yang paling murah berbanding lembu, kambing mahu pun babi bagi yang bukan Islam.

Mengurangkan pengambilan ayam dan mempelbagaikan sumber protein lain seperti telur adalah salah satu alternatif sementara menunggu harganya kembali stabil.

Nampak seruan klise tetapi itulah hukum pasaran, permintaan dan penawaran.

Ketika ini, kerajaan masih menyalurkan subsidi 60 sen sekilo yang sepatutnya ayam di pasaran runcit dijual mengikut harga ditetapkan (RM8.90 sekilo).

Baca: Kerajaan beri subsidi ayam 60 sen, telur 5 sen

Namun, ia akan berakhir tidak lama lagi kerana tempoh pemberian subsidi hanya disalurkan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Ia bermula 5 Februari lalu dan akan berakhir 4 Jun ini. Terbaharu kerajaan teruskan hingga 1 Julai ini.

Dan campur tangan kerajaan bagi menstabilkan bekalan dan mengawal harga ayam nampaknya adalah salah satu opsyen yang perlu dipertimbangkan untuk kepentingan rakyat.