Aksi "The Speedy Tigers" ketika menentang Jepun pada Hoki Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta. /Gambar BERNAMA

KOREA Selatan bakal menjadi lawan Malaysia pada aksi final kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta esok.

Aksi di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu bakal berlangsung pada jam 7.30 malam waktu Malaysia.

Korea menyusuli jejak Malaysia setelah berjaya mengikat India pada aksi Super 4 malam ini dengan jaringan 4-4.

Keputusan itu menyaksikan India bakal bertemu Jepun untuk merebut tempat ketiga terbaik.

Terdahulu, skuad Malaysa berjaya membenamkan Jepun dengan jaringan 5-0.

Dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak berhati-hati dan berbalas serangan pada aksi hari ini, skuad ‘The Speedy Tigers’ membuka jaringan pada akhir suku pertama, menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-15.

Bermula suku kedua, Malaysia menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol berjaya dicipta, namun dinafikan penjaga gol Jepun Koji Yamasaki.

Malaysia kemudian menggandakan jaringan menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-30 dan satu lagi gol lima minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim.

Baca: Malaysia layak ke Piala Dunia tahun depan

Memetik laporan Bernama, skuad kendalian A. Arul Selvaraj tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol keempat menerusi gol padang Muhammad Syafiq Hassan juga pada minit ke-35, sebelum Mohamad Ashran Hamsani menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-42.

Bercakap kepada pemberita selepas aksi itu, kapten Muhamad Marhan Mohd Jalil berkata kejayaan itu terhasil kerana semua pemain telah memberi persembahan terbaik, serta kekal fokus untuk mengelakkan Jepun menjaringkan gol.

“Persediaan untuk perlawanan akhir telah bermula dengan perlawanan hari ini. Esok kita akan beri yang terbaik untuk menang,” katanya.

Arul Selvaraj pula memuji semua pemain ke atas kejayaan untuk menundukkan Jepun, yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018.

“Persiapan untuk setiap perlawanan dilakukan setiap pemain, saya hanya berikan panduan. Saya percaya kalau kita memperkasakan mereka, mereka akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Untuk perlawanan akhir, beliau berkata mereka boleh raikan kejayaan ini sebentar dan turun esok dengan tenang, sabar dan deliver kerana itu peluang terbaik untuk cipta sejarah.