PENYANYI Ashira meluahkan rasa kecewa namanya tidak melonjak naik dalam industri tanah air setelah menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Memetik laporan Mstar, pelantun lagu Di Ombak Resah itu turut mengakui bahawa dia pada awalnya enggan menyertai pertandingan tersebut namun tetap mencuba nasib dengan harapan dirinya kembali dikenali setelah sekian lama menyepi.

Walau bagaimanapun, Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, menyatakan bahawa dia tidak mahu meninggalkan minatnya terhadap bidang nyanyian dan menerima tawaran kerja di sebuah restoran pub seperti mana yang dia lakukan sebelum ini.

“Sebenarnya saya sudah lama tidak berhajat untuk kembali aktif dalam industri seni. Ketika menerima tawaran GV7 pun hati saya berbelah bahagi. Namun ketika itu hanya mencuba nasib untuk kembali.

“Tidaklah terlalu mengharap nama akan kembali ‘meletop’ seperti dahulu. Cuma ada sedikit rasa kecewa apabila percubaan untuk melakukan perkara yang saya minat tidak menjadi.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini memang susah hendak cari kerja. Jadi apabila ada peluang menyanyi di restoran seperti sekarang ini saya terima sahaja.

“Sebelum ini pun saya menyanyi di kelab. Ini sudah menjadi kerjaya dan saya tidak akan tinggalkan bidang nyanyian kerana minat yang mendalam,” katanya.

Ashira juga turut memberitahu bahawa dia tidak menerima banyak undangan persembahan dan terpaksa akur rezeki tidak berpihak kepadanya untuk mengekalkan populariti setelah dua tahun GV7 berakhir.

“Jika ada tawaran menyanyi pun hanya sekadar bertanya. Saya memang tidak menerima banyak undangan dalam mana-mana majlis. Saya faham ramai lagi artis dalam industri seni dan ini bukan rezeki saya.

“Perkara yang sama terjadi lagi kepada saya. Rezeki sebagai penyanyi bagaikan tak ‘lekat’. Dari dahulu lagi saya sudah biasa begini,” ujarnya.