jatuh cinta nikmat Allah
Sekadar gambar hiasan

Jatuh cinta boleh mengucar-ngacirkan seluruh kehidupan. Percaya atau tidak, cinta boleh membuat jantung berdegup kencang, perut kecut, perasaan menjadi seperti roller coaster, sekejap gembira dan tidak sampai seminit kebimbangan, risau datang merasuk.

Apa sebenarnya semua itu, kalau hadirnya membawa pelbagai rasa? Mengapa orang rasa seronok bila dilanda cinta? Di mana letaknya rasa cinta itu? Otak, hati atau jantung?

Ketua Program Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir, berkongsi sesuatu yang dinamakan cinta dan ia letaknya di otak.

Perubahan sistem fisiologi berlaku apabila dua insan jatuh cinta. Apabila seseorang lelaki atau wanita jatuh cinta, tubuh badan kita akan melepaskan hormon seperti dopamine, adrenalin dan norepinephrine. Hormon itu akan memberikan reaksi fizikal seperti pipi menjadi merah, tapak tangan berpeluh atau jantung berdegup kencang.

Dopamine mencipta perasaan gembira manakala adrenalin dan norepinephrin pula bertanggungjawab mencipta getaran perasaan.  Ini adalah reaksi normal apabila seseorang itu jatuh cinta. 

Tambahnya lagi, mengikut satu kajian yang dilakukan oleh ahli Psikologi dari State University of New York, Stony Brook, Arthur Aron, antara perasaan cinta dan ketagihan dadah kedua-duanya menggunakan sistem yang sama di dalam otak.

Sistem bahagian otak itu akan menjadi aktif setiap kali ada rasa cinta yang lahir. Perasaan cinta itu bukan datang daripada hati sebaliknya daripada otak.

Dengan lain perkataan anda akan mengidamkan, mengimpikan, mendambakan atau gila bayang orang yang dicintai sama seperti orang ketagih dadah atau candu. Cinta itu bagai dadah apabila banyak memudaratkan dan perlu hanya cukup-cukup sahaja agar jadi penawar.

Ada pengkaji yang berpendapat bahawa cinta romantik adalah emosi paling hebat dalam hidup manusia. Otak manusia satu organ yang Allah jadikan cukup unik, hebat dan pelik terutamanya apabila hendak memilih pasangan. Manusia akan menjadi terlebih motivasi bila masuk bab untuk memenangi hati pasangan, kadang-kadang menjadi terlebih ekstrem sekadar untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang.

“Kita akan rasa bahagia apabila sedang dilanda cinta tapi pada masa yang sama ada rasa risau yang menjengah. Cinta akan menjadikan kehadiran seseorang adalah matlamat dalam hidup.

“Itu semua adalah rangsangan daripada bahagian tertentu otak yang akan mengarahkan pusat keseronokan untuk bertindak balas, itulah yang dinamakan satu keperluan penting yang disampaikan otak untuk meneruskan kelangsungan hidup,” jelasnya.

Kenapa ada penyelidik menyamakan cinta dengan dadah atau candu? Bagi yang pernah ketagih candu mungkin tahu macam mana tapi jangan pula mengambil candu sekadar untuk menikmati keseronokan cinta.

Cubalah bercinta tapi cinta yang halal bukan cinta terlarang, cinta sejati pasangan suami isteri nilainya jauh berbeza daripada cinta remaja yang berdasarkan hawa nafsu.

Dalam hal itu, Dr. Nor Ba’yah menambah cinta sejati itu datang bagaikan dahaga. Kita tidak boleh nafikan rasa dahaga dan otak tidak boleh buat-buat lupa untuk mengalihkan rasa dahaga itu kepada satu benda lain. Pada peringkat awal cinta sejati, seluruh fikiran dan rancangan sepanjang hari hanya tertumpu pada cinta itu saja. Keadaan itu sama rasanya macam kita dahaga sentiasa inginkan kepada air.

Walaupun setiap orang mempunyai ungkapan berbeza tentang cinta sejati ada yang meluahkannya dengan ucapan, sentuhan, perbuatan, belaian dan juga sokongan daripada pasangan tapi kesannya tetap sama.

Cinta sejati menyebabkan kita rasa seronok sepanjang masa dan tumpuan hanya kepada seseorang sahaja. Dunia akan jadi tempat yang paling menakjubkan, semuanya kerana cinta.

Ujian MRI menunjukkan bahawa sistem saraf otak aktif apabila seseorang rasa seronok dengan melihat gambar orang yang disayangi dan mengingati kembali kata-kata cinta yang dilafazkan.  Keadaan itu menjadikan cinta adalah salah satu keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup manusia sama seperti lapar dan dahaga,

Perkara pertama yang berlaku apabila jatuh cinta semua yang berkaitan dengan yang dicintai atau disayangi, ia memberikan makna istimewa dan unik. Kita pandang kereta orang yang dicintai mata akan segera mengenalinya penuh dengan keistimewaan berbanding kereta lain. Jalan yang sering dilalui, di mana rumahnya terletak, muzik kegemarannya semuanya istimewa dan unik.

Butakah aku kerana cinta

Biasanya sekali jatuh cinta ia sukar untuk dilupakan dan menjadikan cinta itu buta. Semuanya indah pada pandangan mata dan ketika tertentu keputusan yang penting pun gagal untuk diambil angkara penangan cinta. Betulkah manusia sampai begitu sekali akalnya bila dilanda cinta?

Menjawab persoalan itu, Dr. Nor Ba’yah memulakannya dengan persoalan, kenapa cinta itu buta? Sebenarnya cinta itu tidak buta tapi orang yang dilanda cinta itu seakan sudah buta. Hal itu berlaku kerana seseorang itu hanya melihat apa yang hendak dilihat dan mendengar apa yang hendak didengar tentang pasangan yang dicintai. Keadaan itu menjadikan seseorang itu bersikap tidak rasional dan kurang objektif.

Biasanya ia berlaku pada peringkat awal percintaan. Kalau hendak dibahagikan fasa cinta, ia ada tiga fasa, pertama nafsu kemudian daya tarikan dan berakhirnya dengan ikatan emosi.

Jelasnya, tubuh badan membina toleransi ke atas rangsangan keseronokan pada fasa ikatan emosi. Hormon seperi endorfin, vasopressin dan oxytoxin akan mencipta perasaan sejahtera dan selamat. Kedua-dua perasaan itu akan membawa hubungan cinta berpanjangan.

Cinta juga menurunkan paras serotonin di otak. Jadi, apa kaitannya serotonin dengan kesihatan otak? Serotoni adalah salah satu bahan kimia yang menyumbang kepada OCD (obsessive compulsive disorders). OCD boleh diterangkan sebagai gangguan mental yang dicirikan oleh pemikiran yang berulang dan berterusan.

Paras serotonin menurun boleh diterangkan mengapa pencinta sejati hanya boleh memfokuskan mindanya hanya kepada objek yang menarik minatnya. Perasaan itulah jugalah yang menyebabkan cinta itu buta.

Kalau hati sudah cinta semuanya nampak indah belaka, pada peringkat awal perhubungan minda hanya memilih untuk fokus kepada kualiti baik pasangan sahaja.

Cintanya sehujung kuku

Cinta sedalam lautan apabila kering laut cinta hilang, cinta sepenuh hati apabila hati mati cinta terkubur sama. Namun cinta sehujung kuku, dipotong sampai masa tumbuh kembali.  Sekali cinta melekat di hati adakah ia terlekang dan pergi jauh apabila sampai masanya?

“Tidak!” jawab Dr. Nor Ba’yah. Buktinya kajian yang dijalankan oleh Arthur Aron ke atas pasangan yang telah 21 tahun berkahwin dan mendakwa masih hangat jiwanya dengan cinta.

Ujian MRI, pengkaji mendapati pasangan cinta jangka panjang mempunyai bahagian otak yang merangsang cinta masih lagi aktif apabila melihat gambar wajah orang dikasihi. Cinta jangka panjang mempamerkan aktiviti di bahagian otak yang ada kaitan dengan rasa cinta sayang dan keseronokan.

Tidak dinafikan cinta juga ada pasang surutnya tapi cinta itu akan terus hadir tapi dalam ikatan yang lebih kukuh. Hanya ikatan kesetiaan yang akan terus memastikan pasangan hidup bersama dalam tempoh masa yang panjang. Kajian yang dilakukan ke atas otak juga menujukan bahawa cinta akan berubah seiringan dengan waktu. Tapi selagi ada sisi-sia cinta yang tinggal ikatan tetap kukuh. Ketika itu manusia pencinta tidak takut lagi akan ditinggalkan oleh pasangannya.

Tambahnya, manakala daripada suduk psikologi sosial, ikatan emosi dikaitkan dengan pengiktirafan sistem tingkah laku apabila seseorang mencari pasangan ketika berdepan dengan krisis. Ini bermakna pasangan merupakan sumber keselesaan, perlindungan dan sokongan. Kepincangan salah satu daripada sumber tersebut akan berlaku hilang percaya terhadap pasangan.

Cinta biasanya tertakluk dalam tahap penghormatan yang tinggi antara pasangan, keinginan pasangan adalah paling baik antara satu sama lain.  Cinta sejati itu adalah soal kejujuran, kesetiaan, kepercayaan, sokongan emosi, perkongsian dan persahabatan. Pasangan yang saling mencintai akan mencipta keseronokan bersama, memenuhi sokongan emosi, melindungi, menyediakan kebajikannya, memenuhi keperluannya walaupun tanpa diminta. Salah satu sebab pudarnya kehangatan cinta apabila hilangnya rasa hormat kepada orang yang pernah dicintai.

Cinta itu satu anugerah yang kompleks dan motivasi mental untuk kekal dalam satu ikatan yang berpanjangan.  Apabila jatuh cinta ia bukan terletak pada hati tapi pada otak, segalanya yang berkaitan dengan bahan kimikal yang dikeluarkan, emosi dan kognitif.  Cinta yang berdasarkan emosi hanya boleh bertahan dua saat saja namun konsep cinta yang berasaskan kognitif dan emosi mental selagi ada aktiviti jaringan semula jadi maka cinta akan kekal hadir.

Tidak ada tarikh luput untuk cinta, tidak ada bukti saintifik cinta akan padam. Cinta masih tetap sesuatu yang misteri dan untuk mengekalkan juga tidak ada formula yang tepat.  

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare