CATATAN menunjukkan tali leher mempunyai sejarah yang sangat panjang. Lama sebelum kita mengenalinya, aksesori leher ini ternyata sudah wujud sejak zaman batu lagi, di mana ia sering dipakai oleh kaum lelaki daripada golongan tertinggi. Bahkan, tentera terracotta berupa patung-patung bertarikh 210 Sebelum Masihi (SM) yang dijumpai pada tahun 1974, berdekatan Xi’an di wilayah Shaanxi, China, turut dilihat memakai perhiasan kain di leher.

Walaupun terdapat banyak catatan mengenai pemakaian tali leher, dikatakan Croatia antara negara terawal yang menggayakan aksesori ini. Dikatakan di sinilah tempat asal bermulanya penggunaan tali leher. Buktinya, seorang penyair terkenal Dubronik, Ivan Dzivo Gundulic dilihat mengenakan kain di lehernya pada sebuah potret bertarikh sekitar tahun 1622.

Potret Ivan Dzivo yang mengenakan kain pada lehernya.

Lelaki Croatia dilaporkan mula memakai tali leher atau disebut ‘Hrvatska’ dalam bahasa tempatan sejak abad ke-17 lagi. Namun, potongan tali leher pada zaman itu tidak sama seperti sekarang.

Bentuk tali leher yang digunakan orang Croatia terdahulu cukup ringkas. Hanya kain selendang daripada sutera dan berbentuk mirip seperti tudung yang diikat pada leher.

Kain sutera ini sering dipakai oleh lelaki Croatia. Mereka mengikatnya pada bahagian leher sebagai aksesori di samping untuk menegangkan kolar baju. Oleh kerana gaya ini hanya ada di Croatia, maka siapa sahaja memakainya pasti menjadi perhatian orang luar pada masa itu.

Pada tahun 1630, semasa perang Jerman 30 tahun, mulai tahun 1618 hingga 1648, ramai tentera upahan Croatia telah dihantar ke Perancis. Dikatakan, setiap kali para perajurit dihantar ke medan perang, ahli keluarga pasti menghadiahkan sehelai kain selendang buat insan tersayang.

Para isteri akan mengikat kain pada pasangan yang akan ke medan perang.

Sebagai tanda kecintaan, para isteri akan menjahit sendiri skarf daripada pelbagai jenis fabrik dan corak pilihan. Apabila tiba hari perpisahan, para isteri akan mengikat kain tersebut di leher pasangan yang akan ke medan pertempuran sebagai tanda ingatan apabila berjauhan.

Dijadikan cerita, ketika tentera Croatia tiba di Perancis, ikatan kain selendang pada leher mereka telah menarik perhatian ramai. Gaya ini telah mempopularkan mereka dan lebih dikenali berbanding tentera lain.

Ikatan kain pada leher ini telah mempopularkan tentera Croatia.

Ketika itu, pemakaian aksesori leher dikatakan bukan sahaja sebagai lambang identifikasi, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pakaian seragam tentera Croatia.

Francoise Chaile dalam bukunya berjudul La Grande Historie de la Cravate, menyatakan bahawa sekitar tahun 1635, sebanyak enam ribu orang perajurit dan kesatria Croatia telah disewa oleh Raja Perancis Louis XIV untuk datang ke Perancis.

Ketika itu, mereka memakai pakaian yang amat menarik. Sehelai sapu tangan diikat di leher dengan cara khusus. Aksesori itu terbuat daripada pelbagai jenis kain dengan corak yang beragam. Ada di antaranya berupa kartun kecil, bunga dan ada juga yang tanpa corak. Sapu tangan itu cuma diikat di leher dengan kedua hujungnya dibiarkan terlepas. Gaya tersebut dianggap sangat praktikal kerana ia tidak perlu digosok, mudah dilenturkan dan senang dipakai.

Pada tahun 1646, Raja Perancis Louis XIV mulai memakainya selepas tertarik melihat gaya pemakaian tentera Croatia. Sejak itu, fesyen mengikat kain di leher ini telah dijadikan sebagai perhiasan peribadi mewah dalam kalangan kerabat diraja. Menjelang tahun 1650, seluruh penduduk Perancis menerima baik fesyen tersebut dan mereka menamakannya sebagai ‘cravat’, bermaksud ‘penduduk dari Croatia’.

Gaya tentera Croatia turut menjadi ikutan King Louis XIV lalu menjadi ikutan golongan bangsawan.

Tahun-tahun berikutnya, gaya mengikat potongan kain di leher telah tersebar ke seluruh Eropah. Bermula dari Perancis kemudian berkembang ke Belgium dan Belanda seterusnya menakluki Kepulauan Inggeris.

Orang Inggeris dikatakan telah mengubah sedikit bentuk asal cravat terutama daripada segi pola cara jahitan. Masuk abad ke-19, Jesse Langsdorf, seorang pengusaha tekstil Amerika membuat revolusi dengan memotong kain menjadi tiga bahagian. Selepas itu, beliau menjahitnya semula sehingga membentuk tali leher yang mudah diikat. Tidak lama selepas itu, pereka Itali telah menambahkan elemen baru pada tali leher untuk memudahkan pemakainya.

Pemakaian cravat oleh tentera Croatia dahulu yang kemudian berkembang menjadi tali leher seperti hari ini.

Sekitar tahun 1869-an, barulah cravat mulai menyerupai tali leher moden. Ketika muncul fesyen kemeja berkolar, tali leher disimpulkan di bawah dagu dengan hujungnya dibiarkan terjuntai ke bawah. Seiring dengan kemajuan teknologi, tali leher juga mengalami perubahan dan terlihat sofistikated, memiliki kepelbagaian warna, corak, fabrik dan potongan.

Croatia sangat berbangga kerana menjadi pencetus dan pewaris tali leher. Malah, negara yang terletak di persimpangan Mediterranean, Eropah Tengah dan Balkan ini turut mempunyai perayaan khas yang dipanggil International Necktie Day.

Perayaan ini diraikan oleh penduduk Croatia pada 18 Oktober setiap tahun. Tujuannya untuk memperingati unsur warisan nasional mereka dan tempat asal ‘kelahiran’ tali leher yang ada pada zaman sekarang.

Crotia merayakan hari tali leher setiap tahun pada bulan Oktober.
Tali leher menjadi lambang simbolik dan kebanggaan rakyat Croatia.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com