Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. GAMBAR: Abd Razak Aid

BUKAN rahsia lagi terdapat dua pandangan dalam UMNO berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Di satu pihak mahukan Parlimen dibubarkan segera, namun pada masa sama ada yang merasakan sebaliknya.

Pelbagai hujah diberikan kedua-dua pihak namun tidak ada yang lebih berterus terang daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Khairy yang bercakap kepada media Singapura dilaporkan berkata:

“Mereka yang mahukan PRU-15 diadakan segera adalah mereka yang tak sabar mahu jadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” kata Menteri Kesihatan itu.

Tanpa menamakan siapa, Khairy dalam laporan The Straits Times Singapore hari ini menjelaskan beliau menghormati pandangan mereka sebagai pemimpin parti

Tetapi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu di dalam frasa bahasa Inggeris memberi mesej berikut kepada mereka .

“Stay in your lane, tunggu giliran anda.” katanya.

Dalam laporan The Straits Times itu, Khairy menjelaskan yang beliau tidak nampak kenapa PRU-15 perlu diadakan segera.

Sebaliknya, beliau merasakan penting untuk semua pihak menunggu pemulihan ekonomi mencapai momentum.

“Adakah terdapat keperluan mendesak untuk mengadakan PRU sekarang? Saya tidak fikir begitu,” tegas beliau sambil tidak menafikan soal kestabilan politik dan kemenangan mutlak.

“Namun apa bezanya tahun ini dengan tahun depan?,” soal beliau.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga menegaskan mereka yang mahukan Parlimen dibubarkan sekarang adalah mereka yang tidak bersedia mengadakan pemilihan parti seperti mana dijadualkan.

Khairy Jamaluddin mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana hari ini. Khairy berada di republik itu sempena progrom Fellow Pertukaran Lee Kuan Yew./Gambar FB Lee Hsien Loong.

Baca: Desak PRU-15 dipercepat pentingkan diri, tak fikir rakyat

Tak kan nak berdiri hanya sebab orang lain berdiri – Annuar Musa

Khairy berada di Singapura menghadiri Fellow Pertukaran Lee Kuan Yew.

Pada pemilihan parti pada 2018, Khairy bertanding jawatan Presiden UMNO tetapi tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas kekalahan itu, beliau menolak lantikan ke jawatan parti di peringkat nasional.

Bagaimanapun apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk pada Mac 2020, Khairy dilantik menggangotai Kabinet.