BEKAS personaliti TV iaitu Datuk Ras Adiba Radzi sah kembali bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Azam Ali yang juga merupakan bekas suaminya yang terdahulu.

Ras, 54, mengakui bahawa ikatan jodohnya dengan suami masih kuat dan bersyukur kerana perjalanan majlis pernikahannya yang berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur semalam berjalan lancar.

“Ya, benar, saya berkahwin semula dengan orang yang sama. Kami pernah bercerai dan kini berkahwin semula. Alhamdulillah, jodoh antara saya dan suami sangat kuat.

“Syukur Alhamdulillah, majlis pernikahan kami yang diadakan di Jawi, KL pada 12 tengahari semalam juga berjalan lancar.

“Kami kenal sejak tahun 1986 ketika masih bertugas di stesen TV3,” ujar Ras memetik laporan mStar.

Melalui perkongsian di laman Instagram milik Ras, dia berkongsi beberapa keping foto yang menunjukkan bahawa pasangan suami isteri itu telah kembali berkahwin.

Sebelum ini bekas penyampai berita TV3 tersebut memilih untuk merahsiakan kes penceraian mereka kerana menyifatkan ia sebagai hal peribadi yang tidak perlu dihebohkan kepada umum.

“Tak perlu. Kami bercerai pun kami tak beritahu orang. Ini hal peribadi. Biar sahaja begitu, kerana setiap kita punyai jalan cerita masing-masing.

“Biar kita saling menghormati. Janji semua selamat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ras pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua orang cahaya mata manakala Mohamed Azam juga dikurniakan enam orang cahaya mata hasil daripada perkahwinan yang terdahulu.