jangan biarkan perut kenyang

Perkahwinan membawa banyak kebaikan kepada setiap hamba-Nya yang beriman dan yakin akan janji-janji Allah. Selebihnya, menurut Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menikah juga boleh mengekang pasangan daripada dua nafsu terbesar yang ada dalam diri, iaitu nafsu perut dan kemaluan.

Imam Ghazali menegaskan, dua syahwat ini saling berkaitan dan boleh dikekang dengan cara berkahwin. Menurut Imam Ghazali, perut adalah sumber segala nafsu syahwat dan tempat tumbuh segala penyakit serta bahaya. Nafsu perut akan mengiringi kepada nafsu kemaluan dan berkeinginan kepada wanita, sehingga perlu berkahwin.

Itulah yang terjadi kepada nenek moyang kita terdahulu, iaitu nabi Adam a.s dan isterinya, Hawa. Gara-gara dorongan daripada nafsu perut yang tidak terkawal, Adam dan juga Hawa lantas memakan buah Khuldi, maka terbukalah auratnya. Sebagai balasan di atas keingkaran yang dilakukan, kedua-duanya dikeluarkan daripada syurga dan berkelana  di bumi. 

Nafsu perut merujuk kepada pemakanan yang diambil oleh manusia. Lantas untuk menjaganya, Allah dan Rasulullah s.a.w mengingatkan khalifah-Nya di bumi ini tentang pentingnya pemakanan yang halal dan kuantiti makanan yang diambil. Firman Allah,

“Makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan.” (Al-A’raf:5).

Kegagalan mengawal nafsu perut, akan membuka ruang percambahan nafsu syahwat di kemaluan. Disebabkan itu, Nabi s.a.w mengingatkan,  jika sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin, dan dalam masa yang sama tidak mampu untuk mengawal nafsu kemaluan, maka cara terbaik ialah berpuasa. Sabda Baginda s.a.w.,

“Wahai para pemuda, sesiapa yang berkemampuan di kalangan kamu, maka berkahwinlah. Ini kerana perkahwinan boleh menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana ia adalah perisai.” (HR Bukhari)

Jangan biarkan perut kenyang

Nafsu kemaluan akan menjadi kenyang apabila perut lapar, dan ia akan menjadi lapar jika perut kenyang. Perut yang kenyang boleh memberi tenaga untuk manusia berbuat perkara mungkar. Lukmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya,

“Hai  anakku! Apabila perut penuh, nescaya fikiran tidur, hikmah bisu dan anggota-anggota tubuh duduk tidak beribadah,”

Sementara itu, sebuah riwayat menyatakan nabi Yahya a.s pernah didatangi Iblis yang membawa beberapa benda yang bergantung di badannya. Lalu nabi Yahya a.s bertanya,

“Apakah benda yang bergantungan itu?” Jawab Iblis, “Inilah syahwat yang aku pergunakan untuk menguasai dan menggoda manusia.

Kemudian Baginda nabi bertanya lagi, “Apakah yang ada pada syahwat itu?”  jawab iblis, “Kadang-kadang, dengan syahwat ini engkau kekenyangan, lantas memberatkan engkau daripada mengerjakan solat dan zikir.”

Mendengar jawapan si Iblis, nabi Yahya a.s seraya berkata, “Demi Allah, selama-lamanya aku tidak akan memenuhi perutku dengan makan hingga terlalu kenyang.”

Begitulah keadaannya apabila perut kekenyangan, otak akan berfikir banyak perkara lain, dan semestinya fitrah manusia akan memikirkan kepada nafsu syahwat untuk berseronok. Berbanding orang yang lapar, mereka akan lebih memikirkan keadaan neraka, azab seksa kubur, penderitaan orang lain yang juga kelaparan sehingga boleh meningkatkan iman seseorang.

Nafsu tidak akan tawar dan hina melainkan dengan lapar.

Apabila seseorang itu telah berkahwin, syahwat yang ada terus dialirkan ke arah yang halal bahkan mendapat pahala apabila berkasih sayang kerana Allah. Bukan itu sahaja, orang yang berkahwin, lumrahnya, makanan dan minuman akan lebih terjaga, dan kuantiti yang dimakan juga akan terkawal.

Daripada sudut psikologi, apabila seseorang itu makan makanan yang dimasak dengan penuh kasih sayang oleh isteri, mereka akan makan sedikit, tetapi kenyangnya lebih. Disebabkan melihat orang yang disayangi sentiasa berdamping, membuatkan hati fokus terhadap perkara lain yang jauh lebih utama, termasuk kesetiaan isteri, kasih sayang, cinta, rasa tanggungjawab dan sebagainya.  

Dalam pada itu, Imam Ghazali mengungkapkan, nafsu tidak akan tawar dan hina melainkan dengan lapar. Tegasnya, selama mana manusia tidak melihat kehinaan dan kelemahan dirinya, maka ia tidak dapat melihat kemuliaan dan keperkasaan Allah Taala.

Erti kebahagiaan juga sentiasa ada pada setiap manusia, selagi mana dia memandang dirinya dengan penuh kehinaan dan kelemahan, dan melihat Tuhannya dengan penuh kemuliaan sebagai pemberi rezeki.

Oleh kerana itulah, ketika diserahkan dunia dan segala isinya kepada Nabi s.a.w, Baginda menjawab,

“Tidak, tetapi aku akan lapar sehari dan kenyang sehari. Maka apabila aku lapar, nescaya aku sabar dan merendah diri. Dan apabila aku kenyang, aku bersyukur.” (Riwayat Imam Ahmad dan Tarmizi).

Kalam Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin lagi berkaitan dengan dua nafsu yang bercambah, kelaparan yang dihadapi oleh seseorang boleh menghancurkan seluruh nafsu syahwat kepada perbuatan maksiat.

Kerana sumber seluruh perbuatan maksiat ialah nafsu syahwat dan tenaga yang bersumberkan daripada makanan. Maknanya mengurangi makanan itu akan melemahkan seluruh nafsu syahwat dan tenaga.

“Sesungguhnya seluruh kebahagiaan itu terletak pada seseorang yang dapat menguasai dirinya. Dan kesengsaraan itu pada orang yang dikuasai oleh dirinya. Sebagaimana tidak dapat menguasai binatang yang melawan, selain dengan lapar yang melemahkannya. Maka apabila ia kenyang, maka ia akan kuat, lari memencilkan diri dan melawan. Itulah nafsu!,” terang Imam Ghazali mengenai perumpamaan nafsu dalam diri manusia. Wallahu a’lam

________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare