JDT antara pasukan kelab yang semakin mendapat perhatian di rantau Asia. - GAMBAR: Twitter MFL

PERLAWANAN Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman FC dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung pada 19 Jun ini telah dipinda ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam memaklumkan pihaknya menerima permohonan daripada Kedah pada 12 Mei lepas bagi membolehkan mereka mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan persiapan sebelum mengharungi kempen Piala AFC yang berlangsung di Denpasar, Bali, Indonesia pada 24-30 Jun ini.

Stuart berkata, MFL yang memajukan permintaan Kedah kepada JDT telah menerima maklum balas positif daripada ‘Harimau Selatan’ yang menyokong pertukaran jadual tersebut.

“Namun tarikh perlawanan yang dipinda akan ditentukan hanya selepas keputusan peringkat kumpulan Piala AFC nanti,” menurut kenyataan MFL hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kejayaan JDT di ACL pemangkin bola sepak Malaysia – Hamidin

Stuart juga menegaskan bahawa MFL akan sentiasa memberikan kerjasama kepada kelab-kelab iaitu JDT dan Kedah termasuk Kuala Lumpur City FC yang bermain di kejohanan kompetitif Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

JDT akan bertemu Urawa Red Diamonds dalam aksi 16 pasukan terbaik ACL pada Ogos ini sementara Kedah dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC masing-masing bermain di Kumpulan G dan Kumpulan H bagi saingan Piala AFC.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram