PELAKON drama Bisik-Bisik Gelora, Redza Rosli dan Raysha Rizrose menegaskan bahawa mereka profesional dan keserasian yang ditonjolkan antara mereka hanya atas usaha kerjasama.

Sebelum ini, pemenang Dewi Remaja 2014/2015 itu pernah ditawarkan untuk bergandingan dengan Redza namun bukan rezeki mereka berlakon bersama ketika itu.

Rasya atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz memberitahu bagi menghidupkan watak dalam drama tersebut, Redza dan dirinya akan membantu dan memberi antara satu sama lain.

“Sebelum ini, saya pernah mendapat tawaran berlakon dengan Redza, tetapi tiada rezeki. Bisik-Bisik Gelora menjadi naskhah pertama menggandingkan kami.

“Saya sangat senang bekerja dengan Redza. Dia sangat ‘memberi’ ketika berada di set. Setiap babak dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dia cukup efisien,” katanya memetik BH Online.

Menurut Raysha lagi, pengarah drama tersebut Riza Baharuddin juga banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam penghayatan wataknya sebagi Arumi.

“Riza sangat membantu pelakon untuk menghayati dan menghidupkan lagi watak.

“Kami memulakan penggambaran pada 15 Februari lalu. Saya sepatutnya memasuki set lebih awal. Namun, macam-macam dugaan berlaku antaranya disahkan positif COVID-19.

“Jadi, penggambaran terpaksa dimulakan agak lewat. Kerja ‘shooting’ berlangsung 80 hari untuk 35 episod di beberapa lokasi.

“Antaranya Tanjung Karang, Kuang dan Kuala Lumpur,” ujarnya yang sibuk dengan beberapa projek drama lagi selepas ini.

Mengikuti perkembangan pelakon tampan Redza pula memberitahu bahawa selama lebih sedekad dia berada dalam industri lakonan dia sering mendapat watak yang lebih kurang sama.

Berlainan dengan drama-drama yang sebelum ini, kali ini dalam Bisik-Bisik Gelora dengan bantuan pengarah yang berpengalaman Redza berjaya bawakan kelainan dalam wataknya.

“Mereka yang mengikuti drama saya tentu tahu sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan, saya sentiasa berada dalam zon selesa.

“Tetapi Riza banyak membantu sepanjang penggambaran agar saya tampilkan kelainan,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman bekerja bersama dua pelakon ‘segar’ dalam industri, Riza memberi tahu bahawa ada keserasian dalam diri mereka. 

Pelbagai cabaran yang mereka hadapi dalam tempoh menyiapkan penggambaran dan akhirnya selepas 80 hari ia berjaya disiapkan sepenuhnya.

“Memang banyak cabaran untuk menyiapkan drama ini. Ada kru kami dijangkiti COVID-19.

” Ketika penggambaran di Tanjung Karang, rumah yang kami gunakan untuk shooting dilanda ribut menyebabkan penggambaran terpaksa ditangguhkan.

“Namun, saya bersyukur akhirnya selepas 80 hari, drama ini berjaya disiapkan,” luahnya lagi.

Untuk rekod, drama Bisik-Bisik Gelora ini turut menampilkan Gambit Saifullah, Hafidz Roshdi, Ruminah Sidek, Mark Adam, Afifah Nasir, Kodi Rasheed, Shakilla Khoriri, Edika Yusof dan Damia Qaissara.