Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEBERAPA pemimpin UMNO membidas Tan Sri Annuar Musa apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia itu semalam dilaporkan menjelaskan tiada tarikh tamat bagi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Antara yang mempersoalkan kenyataan Annuar itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil.

Malah selain mengkritik, Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu juga dituduh mengikut cakap DAP kerana kenyataannya berhubung tempoh kuat kuasa MoU.

Apakah benar dakwaan itu?

Annuar hari ini menerusi Facebook beliau membalas kembali kecaman tersebut sambil melampirkan perkara berkaitan dalam MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan PH bagi membuktikan kenyataannya adalah berdasarkan fakta.

Kata bekas Setiausaha Agung UMNO itu, ‘baca jangan tak baca’

“Bagi yang suka menulis tapi malas membaca atau menyelidik, atau yang mungkin sengaja mau mengelirukan fakta, saya muat naik di sini dokumen rasmi/ salinan MoU antara kerajaan dan PH.

“Sila teliti Perkara 2 dan Perkara 3 MoU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan.

“Baca jangan tak baca. Jika tidak, tulisan kita menampakkan betapa kita mengkritik atas dasar benci, bukan fakta…atau sememangnya kita berbuat sesuatu nak tunjuk kelebihan kita, tapi sebenarnya kita hanya memperagakan kelemahan kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, dalam rakaman video penjelasan isu tersebut yang dilakukan Annuar dalam perbualan bersama para pegawainya, Annuar menjelaskan yang MoU itu terus berkuat kuasa walaupun selepas 31 Julai.

Katanya, MoU itu terpakai sehingga pembubaran Parlimen yang mana dipersetujui Parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

“Perkara 3.1 kata Parlimen tidak akan bubar sehingga 31 Julai. Dia tak ada tarikh bubar, dia ada tarikh tak boleh bubar.

“Orang setangahnya faham selepas 31 Julai MoU tak ada. Tidak. MoU itu ada. Cuma tarikh tak boleh bubar sudah tidak ada. Ertinya kalau nak bubar selepas 31 Julai boleh.

“Tetapi ada pula perjanjian lain lagi,” katanya yang tidak pula menjelaskan apa pula perjanjian yang dimaksudkan.

Berikut petikan perbualan tersebut.

Baca: MoU batal bila PH tolak usul kerajaan, Annuar Musa ajak siap sedia PRU-15

‘Tak sabar nak jadi menteri, itu sebab mahu PRU segera’ – Khairy

MOU kerajaan dengan PH, bukan parti dengan parti

Kita bercakap kadang-kadang kerana mewakili suara faction atau puak, bukan dari suara hati ahli politik yang bebas.

Kalau bukan puak kita, kita cari jalan nak menang walau apa yang orang bercakap itu betul. Ini termasuklah dalam isu 31 Julai (tempoh kuat kuasa MoU).

Bila saya bercakap, pertama kena faham yang MoU ini antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri dengan PH. MoU itu bukan parti buat, kerajaan buat.

Kabinet putuskan. Kerajaan pula terdiri daripada beberapa parti. Menteri daripada BN saya, Bersatu (Datuk Seri) Hamzah Zainudin manakala (Datuk Seri) Takiyuddin Hassan wakil Pas.

Tujuan MOU

Mewakili siapa, UMNO? Tidak. Mewakili kerajaan. MoU itu adalah pendirian parti pembangkang terhadap kerajaan yang mana pembangkang merasakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu distabilkan dan fokus kepada pemulihan negara, membela hal rakyat dan bukan berpolemik sepanjang masa hal politik.

Lalu mereka secara sukarela menandatangani memeberi sokongan kepada Perdana Menteri. Ini yang orang tak faham. Saya bercakap sebagai mewakili Kabinet dan saya sebagai penadatangan dan perunding. Saya yang duduk berunding mewakili Kabinet.

Kena faham, isunya bukan parti dengan parti. Ia pembangkang dengan kerajaan yang buat keputusan tak akan gugat kerajaan, akan sokong kerajaan. Ini demi pemulihan negara. Jadi kita meterai MoU.

Tempoh kuat kuasa MoU

Ini seperti dalam Perkara 3. MoU berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan. Ini bukan kata-kata saya.

Tapi ada budak tulis yang ini pendapat saya. Saya bercakap apa yang tertulis dalam MoU. Kalau kita belajar PHD, Harvard ke kalau menulis nak menghentam orang, orang hentam balik.

Perkara 3.1 MoU berkuatkuasa sehingga kepada pembubaran Parlimen. Bila Annuar Musa bercakap. Itu bukan pendapat peribadi saya. Saya cuma menceritakan fakta.

Tak faham 31 Julai tetapi kita nak hentam semua orang. PM kita nak hentam, semua nak dihentam. Macam semua orang sama level. Nak hentam tapi tak faham. Saya nak ulang MoU itu antara kerajaan dengan parti. Kuatkuasanya sehingga Parlimen bubar.

Tarikh pembubaran Parlimen dalam MOU

Bilakah tarikh Parlimen bubar? Tak ada. MoU cuma bercakap tarikh tak boleh bubar.

Perkara 3.1 kata Parlimen tidak akan bubar sehingga 31 Julai. Dia tak ada tarikh bubar, dia ada tarikh tak boleh bubar.

Perkara 3 MoU antara Kerajaan dengan PH yang dimuat naik Annuar Musa di Facebook beliau malam ini.

MOU masih ada selepas 31 Julai

Orang setengahnya faham selepas 31 Julai MoU tak ada. Tidak. MoU itu ada. Cuma tarikh tak boleh bubar sudah tidak ada. Ertinya kalau nak bubar selepas 31 Julai boleh.

Tetapi itu ada pula perjanjian lain lagi.

Keputusan parti tidak mengikat kerajaan

Ada orang kata parti buat keputusan tidak akan disambung lagi MoU. Ini tak berbangkit. Pertama parti tak boleh buat keputusan. Itu (MoU) kerajaan dan pembangkang.

Kerajaan itu UMNO hanya minoriti, ada 39, 40 Ahli Parlimen daripada 116. Kira-kira satu perempat (pertiga) sahaja daripada MP yang ada.

Kerajaan bukan parti. Parti boleh buat keputusan tetapi tak mengikat kerajaan. Dulu bila parti buat keputusan mengikat kerajaan sebab dulu kerajaan BN. Sekarang bukan kerajaan BN tetapi BN lead governement.

Kecaman

Dulu Dr Syed Hussein Al Attas kata, banyak orang masuk universiti tetapi ada yang jadi intelektualisme ada juga jadi bebalisme.

Intelektual kena berhujah dengan fakta, maknanya guna daya intelektual. Kalau pakai hentam kita boleh digelak orang.

Saya cuma nak bagi fakta iaitu MoU itu antara kerajaan dengan pembangkang. Yang kedua, MoU itu dpersetujui untuk menstabilkan kerajaan. Supaya kita bersama boleh fokus kepada agenda rakyat dan boleh lakukan transformasi Parlimen.

Yang ketiga, tak boleh bubar sebelum 31 Julai 2022. Tarikh bubar silent, terpulang kepada kerajaan.

Annuar Musa ikut cakap DAP?

Jadi itu lah fakta yang saya kata. Ada orang komen kata kenapa saya ikut suara PH, DAP. Bukan ikut suara mereka. Saya kata fakta dalam dokumen Mou itu begitu. Kalau tak faham juga saya tak tahulah.

Saya tak berminat nak bermusuh mana-mana individu.