PENGACARA dan pelakon Neelofa berkongsi hasratnya untuk ke tanah Arab menerusi rancangan Nona yang disiarkan di TV3, di mana dia muncul sebagai pengacara undangan. 

Menurut bekas pengacara program televisyen MeleTOP itu, dia menyimpan hasrat untuk ke tanah arab dan mengikut suaminya, Haris Ismail, yang ingin melanjutkan pelajaran di sana.

Tambah Neelofa, atau nama panjangnya Noor Neelofa Mohd Nor, 33, dia juga ingin mendedahkan anaknya, Muhammad Bilal kepada persekitaran baru di samping mengambil peluang untuk belajar bahasa Arab.

“Kami sekeluarga mempunyai impian untuk berhijrah ke tanah arab sama ada Madinah atau Mesir untuk suami sambung belajar.

“Pada masa yang sama, kami mahu dedahkan anak kepada persekitaran di sana dan saya boleh ambil peluang untuk belajar bahasa Arab,” katanya.

Neelofa juga turut menyatakan bahawa dia menyimpan impian untuk mendalami ilmu al-Quran di samping menguasai bahasa Arab.

“Satu lagi impian saya adalah untuk mendalami al-Quran. Walaupun suara saya tak sesedap mana ketika membaca al-Quran, tetapi saya sudah lama ingin mempelajarinya.

“Kalau boleh, saya mahu turunkan ilmu itu supaya dapat dijadikan saham akhirat kelak,” ujarnya.

Untuk rekod, suami Neelofa iaitu Muhammad Haris Ismail, 27, atau mesra dipanggil PU Riz merupakan pemegang Diploma Pengajian Islam dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Haris pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, walau bagaimanapun dia hanya bertahan selama setahun kerana terpaksa pulang ke Malaysia selepas perang yang berlaku di sana.