Lokasi kejadian seorang wanita dipercayai dibunuh dan dikerat kepada 15 bahagian oleh anak kandung sendiri di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak.

SUSPEK yang ditahan polis selepas disyaki membunuh serta mengerat ibu kandung sendiri kepada 15 bahagian di Parit Buntar dilaporkan pernah menerima rawatan pesakit mental, kira-kira 20 tahun lalu.

Memetik laporan Astro Awani, suspek berusia 42 tahun itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati suspek tidak pernah memperoleh sebarang rawatan susulan.

Mior Faridalathrash turut memaklumkan, pihaknya percaya suspek memukul kepala ibunya terlebih dahulu sebelum mengerat badan mangsa serta membuangnya ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian.

Menurut beliau, polis pada mulanya menyiasat mengenai kes orang hilang selepas menerima laporan daripada salah seorang anak mangsa beberapa hari lalu.

“Suspek dalam kes ini tinggal serumah dengan mangsa. Bertindak atas laporan kes Orang Hilang yang dibuat, sepasukan anggota dan pegawai Polis Parit Buntar telah membuat pemeriksaan ulangan di rumah mangsa.

“Hasil pemeriksaan berkenaan pihak polis menemukan potongan daging-daging dipercayai daging milik manusia,” katanya.

Mangsa berusia 68 tahun yang dipercayai dibunuh dan dikerat kepada 15 bahagian oleh anak kandungnya sendiri. GAMBAR: Perak Gazette

Baca artikel berkaitan: Tak berpuas hati pembagian harta, lelaki kerat ibu 15

Mior Faridalathrash memberitahu permohonan reman selama tujuh hari telah dibuat di Mahkamah Taiping, namun masih belum ada sebarang keputusan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kenyataan malam tadi, Mior Faridalathrash berkata, polis telah menahan seorang lelaki selepas menemukan 15 keratan daging dipercayai ibu kandung sendiri dalam tangki kumbahan sebuah rumah.

Mangsa dikenalpasti berusia 68 tahun dan tinggal di rumah tersebut bersama suspek sejak 12 tahun lalu setelah suaminya meninggal dunia.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian dikatakan tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya.

Polis turut merampas sebilah parang, dua bilah pisau dan barangan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan pembunuhan tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram