Mangsa Scammer. Gambar hiasan.

SEORANG pekerja kilang berusia terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM11,300 selepas diperdaya dengan tawaran perkhidmatan pelacuran secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang berusia 31 tahun itu ‘dijerat’ dengan perkhidmatan tersebut yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Jun lepas di Bahau.

“Pada hari sama mangsa diminta memasukkan wang dan membuat 22 kali tambah nilai ke aplikasi aplikasi ‘Razer Gold & Silver’ berjumlah RM11,300.

“Selepas membuat pembayaran, mangsa diminta menghantarkan gambar kad pengenalan sebagai bukti pembayaran tersebut,” katanya memetik laporan Bernama.

Baca artikel berkaitan:Pelacuran di Subang Jaya, 14 ditahan termasuk warga Great Britain

Mengulas lanjut, Hoo berkata, mangsa kemudian berasa ditipu setelah dimaklumkan rakannya.

Jelas beliau, mangsa kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, Hoo berkata, seorang mekanik mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM70,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam pada 25 Mei lepas.

Jelas beliau, sindiket tersebut menyamar sebagai wakil dari klinik kesihatan dan pegawai polis dalam modus operandi mereka.

“Mangsa berusia 56 tahun itu mendakwa menerima panggilan yang mengatakan dia melakukan kesalahan di bawah undang-undang Jabatan Kesihatan Malaysia kerana mengambil ubat sebanyak lapan kali di Klinik Kesihatan Ampang Baru, Ipoh, Perak.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis bernama Sarjan Lee dari Balai Polis Ipoh yang memberitahu lelaki itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta memindahkan wang dalam akaunnya untuk siasatan polis dan akan ditangkap jika tidak berbuat demikian.

“Lelaki itu turut dimaklumkan bahawa wang miliknya akan dipulangkan semula jika tidak terlibat dengan pengubahan wang haram.

“Percaya dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat pindahan ke dua akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM70,000,” katanya.

Hoo berkata, mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 3 Jun lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram