PELAKON Datin Paduka Eina Azman tidak akan melarang anak kembarnya melibatkan diri dalam industri hiburan jika mereka diberi peluang.

Eina, 27 atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman memberitahu bahawa dia dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah sentiasa menjadi tulang belakang anak-anaknya itu dan sentiasa menyokong minat mereka.

“Saya akan menyokong Aubrey dan Karl dalam apa saja minat serta bidang yang ingin mereka ceburi walaupun dalam industri hiburan.  Bagi saya, kalau sudah ada peluang mereka, itu rezeki.

“Apatah lagi, jika mereka ada bakat yang boleh diketengahkan. Macam sekarang, saya lebih banyak memberi mereka pendedahan memasak menerusi video yang dirakam dan dikongsi di Instagram. Alhamdulilah mereka pun suka,” katanya memetik Harian Metro.

Kanak-kanak pada masa kini terlalu asyik bermain permainan di telefon pintar, jadi Eina berkata dia mendedahkan minat memasaknya kepada anak kembarnya, Arianna Aubrey dan Karl Kareef, 6, agar mereka tidak terlampau leka bermain sepanjang masa.

“Sekarang banyak sangat ‘game’ di internet. Jadi, saya tidak mahu mereka leka dengan menghabiskan masa bermain permainan video saja. Lebih baik saya ajak mereka memasak bersama-sama dan mengajarnya, itu lebih bagus.

“Lagi pula, saya yang memasak semua resipi masakan itu dan secara tidak langsung ilmu memasak yang ada diturunkan terus kepada mereka,” ujarnya lagi

Kaiser pula memberitahu bahawa dia yakin dan percaya dengan cara didikan yang dibawa oleh isterinya untuk anak-anak dan berharap Eina terus berusaha menggilap bakat memasak si kembar mereka.

Untuk rekod, Eina dan Kaiser  berkahwin pada 31 Ogos 2014 dan dikurniakan sepasang kembar, Aubrey dan Karl yang kini berusia enam tahun.

Terdahulu, Aubrey dan Karl memenangi anugerah kategori Si Cilik MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung pada minggu lalu