Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengadakan pertemuan dengan pemain skuad bola sepak kebangsaan menjelang pertemuan pertama pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023, Rabu ini. GAMBAR: FAM

SKUAD bola sepak Harimau Malaya diingatkan supaya tidak terlena dengan pujian dan sanjungan selepas mencatatkan dua kemenangan ke atas Brunei serta Hong Kong, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sebaliknya berkata, pemain negara seharusnya menjadikan pujian itu sebagai inspirasi untuk terus melawan.

Pada masa sama, Hamidin turut menganggap prestasi pemain masih perlu dipertingkatkan menjelang perlawan pertama pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan, Rabu ini.

“Diakui dua kemenangan ke atas Brunei dan Hong Kong adalah permulaan baik kepada persiapan kita, namun ia tidak bermakna jika kita tidak lakukan yang lebih baik di pertembungan sebenar.

“Dalam kita dipuji, tidak kurang juga ada yang mengkritik, maka terus jadikan pertembungan ini medan membuktikan kemampuan masing-masing.

Baca artikel berkaitan: Pan Gon puji kesungguhan pemain tewaskan Hong Kong

“Berdasarkan pemantauan saya dalam dua aksi persahabatan ini, masih ada kelompongan yang perlu kita baiki kerana kita tidak boleh sesekali memandang rendah lawan, ini tugas penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidin juga sempat bertemu pemain skuad Harimau Malaya serta barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan menjelang saingan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Malaysia berjaya menewaskan Brunei 4-0 dan Hong Kong 2-0 dalam dua perlawanan antarabangsa Tier 1, minggu lalu.

Selepas menentang Turkmenistan, skuad bimbingan Kim Pan Gon itu akan menghadapi dua lagi pencabar iaitu Bahrain pada hari Sabtu dan Bangladesh, 14 Jun ini.

Sekiranya berjaya muncul juara kumpulan atau menjadi antara lima pasukan di tempat kedua terbaik pada saingan kelayakan, skuad kebangsaan akan menamatkan penantian lebih 40 tahun layak secara merit ke Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram