PENYANYI Shahir mengumumkan bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita yang pastinya bukan dalam kalangan rakan industri seni.

Menurut laporan Mstar, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu juga turut memberitahu bahawa dia sudah berpesan kepada bakal isterinya itu mengenai perhatian peminat yang akan diterima selepas berkahwin nanti.

Shahir, atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 34, juga turut menyatakan bahawa dia selesa bersama wanita berkenaan dan mereka bersedia untuk ke fasa berumah tangga.

“Kami baru sahaja berkenalan dan hubungan kami berjalan lancar. Saya selesa bersama dia dan kami sama-sama mahu ke fasa seterusnya.

“Memang tidak jangka akan berkahwin, tetapi saya anggap usia sekarang ini sudah sesuai untuk menuju ke arah itu. InsyAllah tahun ini.

“Dia (wanita itu) boleh faham dengan perjalanan dunia seni dan boleh sesuaikan diri,” katanya.

Tambah Shahir, dia akan berkongsi mengenai perkahwinan dirinya bersama wanita berkenaan apabila tarikhnya sudah ditetapkan.

“Aturan Allah kita tidak tahu. Setakat ini belum ada tarikh, hanya merancang sahaja.

“Semestinya jika sudah dekat tarikh perkahwinan nanti saya akan beritahu kepada semua. Tidak mahu pula timbul fitnah jika ada yang nampak saya bersama seorang wanita,” ujarnya.

Walaupun tidak mendedahkan identiti wanita tersebut, Shahir mengenali wanita itu sejak dua bulan yang lalu.