PENYANYI terkenal dunia Shakira mengumumkan dia bersama teman lelakinya iaitu pemain bola sepak FC Barcelona, Gerard Pique, 35, telah berpisah melalui sebuah kenyataan firma perhubungan awam miliknya.

Terdahulu, Pique didakwa curang selepas penyanyi itu menemuinya bersama seorang wanita 20-an yang juga merupakan seorang pelajar dan pengurus majlis di Barcelona. 

Baru-baru ini, bekas pemain Manchester United itu juga didakwa sudah berpindah keluar daripada rumahnya bersama Shakira di Barcelona dan tinggal bersendirian di dalam bandar itu juga.

Shakira, 45, dan Pique turut memberitahu melalui kenyataan firma milik penyanyi itu untuk menghormati privasi mereka demi kesejahteraan anak-anak mereka.

“Kami mengumumkan bahawa kami sudah berpisah.

“Untuk kesejahteraan anak-anak yang menjadi keutamaan kami, kami meminta anda untuk menghormati privasi kami,” kata mereka.

Untuk rekod, Shakira bertemu dengan Pique ketika sedang mempromosikan lagu rasmi Piala Dunia 2010, Waka-Waka (It’s Time For Africa).

Setelah 11 tahun bersama, pasangan itu dikurniakan dua orang anak yang diberi nama Milan, 9, dan Sasha, 7.