SEBUAH buku yang tersimpan rapi di Universiti Harvard antara koleksi kuno yang unik kerana dikatakan diperbuat menggunakan kulit manusia.

Naskhah kuno berjudul “Des destinees de l’me” (Destinies of the Soul) atau bermaksud “Nasib Jiwa” itu dihasilkan pada pertengahan tahun 1880-an. Bahagian kulit hadapan dan belakang buku ini dihasilkan menggunakan kulit manusia.

Dakwaan tersebut disahkan oleh kumpulan penyelidik dari universiti berkenaan selepas kajian dijalankan ke atas buku ini pada tahun 2014. Berdasarkan penelitian itu, pengkaji tersebut percaya kulit manusia yang digunakan untuk buku itu milik mayat seorang wanita pesakit mental. Kulitnya diambil sebaik sahaja wanita tersebut meninggal dunia akibat penyakit strok.

Kulit depan dan belakang buku ini diperbuat daripada kulit manusia.

Kumpulan penyelidik tersebut menggunakan beberapa kaedah berbeza bagi menentukan bahan asal kulit buku lama itu. Ternyata, keputusan menunjukkan sebanyak 99.9 peratus karya daripada penulis Perancis bernama Arsene Houssaye itu berasal daripada kulit manusia.

Keputusan itu diperoleh sebaik sahaja pasukan penyelidik berkenaan melakukan ujian dipanggil ‘Peptide mass fingerprinting (PMF)’. Kaedah ini digunakan bagi memeriksa sampel mikroskopik di bahagian kulit buku terbabit sama ada benar dibuat menggunakan kulit manusia atau bahan-bahan lain seperti kulit biri-biri atau kambing.

Selepas proses tersebut, analisis selanjutnya dijalankan menerusi ujian asid amino bagi mengenal pasti kehadiran unsur peptida (sejenis sebatian yang terbentuk daripada dua asid amino atau lebih) di bahagian kulit buku berkenaan.

Menurut pengarah Harvard Mass Spectrometry and Proteomics Resource Laboratory, Bill lane, menerusi ujian PMF ke atas naskhah itu menunjukkan ia sepadan dengan sel manusia. Keputusan ini jelas sekali bahawa sumber lain seperti penggunaan kulit haiwan tidak digunakan dalam pembuatan kulit buku tersebut. Justeru itu pihaknya mengklasifikasikan bahagian kulit buku berkenaan dibuat dengan menggunakan kulit manusia.

Sementara itu, Penolong Kurator Buku dan Manuskrip Moden Perpustakaan Harvard, Heather Cole, turut bersetuju bahawa naskhah lama berjudul ‘Des destinees de l’me’ menggunakan kulit manusia sebagai penghias kulit depan dan belakang.

Penjelasan itu dibuat selepas beliau menganalisis satu nota daripada pemilik buku sebelum ini bernama, Dr. Ludovic Bouland. Terdapat satu ringkasan ayat berbunyi “Buku ini sepatutnya mempunyai sesuatu penutup yang berasal daripada manusia. Saya telah menyimpan kulit manusia ini yang diambil dari belakang seorang wanita”.

Berdasarkan analisis ini, Cole percaya ia merupakan sebahagian amalan pelik penjilidan buku sekitar abad ke-16 lalu. Ia digelar sebagai Bibliopegy antropodermik iaitu merujuk penggunaan kulit manusia yang dijadikan sebagai penghias kulit sesebuah buku.

Difahamkan, amalan ini berlangsung sehingga abad ke-19 di barat. Sumber kulit manusia dikatakan diperoleh daripada mayat-mayat penjenayah. Jasad tidak bernyawa ini kemudiannya diserahkan ke makmal-makmal perubatan untuk tujuan penyelidikan. Bahagian badan mayat tidak diperlukan seperti kulit dipercayai diagihkan kepada pengusaha-pengusaha menjilid buku.

Mengikut laporan akhbar College The Crimson, sehingga tahun 2006  terdapat sekurang-kurangnya tiga hingga 15 juta jilid buku lama dikesan menggunakan kaedah ini. Selain menggunakan kulit manusia, industri menjilid buku terdahulu turut menggunakan kulit haiwan seperti biri-biri atau kambing.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com