MUHYIDDIN Yassin menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Institut Masa Depan Malaysia berkenaan isu-isu ekonomi semasa hari ini.

PAKAR-PAKAR ekonomi diminta mengemukakan satu kertas cadangan kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi mengatasi isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain B40, golongan M40 juga terjejas dengan isu inflasi dan kenaikan harga barang dan beliau memandang serius isu peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini serta impaknya terhadap kebajikan rakyat.

“Sewaktu pandemik COVID-19, kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 billion secara suntikan langsung melalui lapan pakej rangsangan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas,” kata bekas Perdana Menteri.

Katanya, ketika Malaysia bergerak ke hadapan, angka pertumbuhan ekonomi makro yang dicatatkan akan lebih bermakna apabila ekonomi rakyat turut berkembang seiring.

“Kenaikan harga barang perlu diatasi dengan segera oleh semua pemegang taruh supaya rakyat dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

BERITA BERKAITAN Mesyuarat Kabinet diawalkan ke esok, bincang kos sara hidup, bahan makanan – Ismail Sabri

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Institut Masa Depan Malaysia berkenaan isu-isu ekonomi semasa bersama Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Michael Kang merangkap ahli MPN serta pakar ekonomi Prof Emeritus Datuk Dr Norma Mansor dan Prof Dr Jamal Othman.

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin yang membentangkan kedudukan semasa ekonomi negara.

“Alhamdulillah, Malaysia telah merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 5 peratus bagi suku pertama tahun 2022 berbanding 3.6 peratus bagi suku sebelumnya.

“Walaupun trend pemulihan negara menunjuk penambahbaikan, isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan perlu diberi tumpuan khusus mengambil kira faktor-faktor situasi global seperti konflik di Ukraine, perintah kawalan pergerakan di China serta kadar tukaran wang asing negara yang lemah,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata, sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama perladangan, perkhidmatan dan pembinaan juga masih berdepan isu kekurangan pekerja yang menjejaskan pemulihan dalam sektor tersebut.