“Ia satu simpanan yang sangat berharga”. Demikian kata penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah ketika diminta mengulas mengenai gambar kenangan sewaktu dirinya masih kecil.

Jelas Jamal,63, dia menyifatkan foto-foto yang dirakamkan ketika usianya masih kecil itu satu momen yang akan dijadikan galeri peribadi di rumahnya.

“Gambar-gambar dirakamkan semasa saya berusia sekitar empat dan tujuh tahun. Ketika itu saya dan keluarga menetap di Brunei.

“Dalam foto tersebut ada adik-beradik saya dan kedua arwah ibu dan bapa saya. Malah ada juga sekeping gambar yang turut sempat diabadikan bersama arwah datuk saya.

“Secara peribadi, ia mengembalikan nostalgia zaman kecil saya setiap kali melihat gambar-gambar itu,” katanya ketika dihubungi URTV.

Jamal bergambar bersama keluarga dan arwah datuknya (berserban)

Sementara itu, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali berkata, dia akan menyimpan gambar-gambar tersebut dengan sebaiknya.

“Saya akan simpan gambar tersebut sebagai satu koleksi peribadi penuh bermakna untuk saya. Sekarang teknologi sudah serba moden jadi kita boleh simpan secara digital.

“Berbeza zaman dahulu yang menggunakan kamera filem gulung berwarna hitam. Sekarang, kita dah boleh membuat beberapa salinan gambar yang kita mahukan di beberapa peranti,” ujarnya.