Tangkap layar rakaman video memaparkan kenderaan Toyota Vellfire rosak di bahagian sisi kanan selepas digesel sebuah lori.

POLIS mengesahkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire sehingga rosak teruk pada bahagian sisi kanan adalah disebabkan lori bukan bas RapidKL.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superitendan Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu MPV telah bertindak memberhentikan kenderaan di kiri jalan sebelum dilanggar lori yang dalam perjalanan ke Jalan Lingkaran Syed Putra.

“Akibat kemalangan tersebut, MPV mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kanan manakala lori mengalami kerosakan di kanvas penutup belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan : Lelaki parah digilis treler

Mengulas lanjut, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kes kini di klasifikasi di bawah Rule 10 LN 166/59.

Ahad lalu, rakaman kejadian tular memaparkan sebuah bas Rapid KL melalui di sebelah MPV yang rosak seperti dilanggar pengangkutan awam itu.

“Puas hati tengok video ini. Ni makan nya kalau suka parking ikut suka hati dekat midvalley sampai menyusahkan orang lain. Bodoh tak bertempat, harap je pakai kereta besar tapi otak langsung tak function,” tulis pengguna Twitter terbabit.

Bagaimanapun, pihak RapidKL tampil membuat kenyataan dalam satu ciapan memaklumkan kerosakan yang dialami MPV tersebut bukan berpunca daripada pemandunya.

“Semasa melalui jalan terbabit, bas kami terpaksa dipandu dengan kelajuan yang sangat perlahan kerana laluan tersebut agak sempit.

“Ini disebabkan oleh kenderaan lain yang telah meletakkan kenderaan mereka di ruangan larangan parkir, sehingga menghalang laluan pengguna lain. Kami mendapati kenderaan jenis Toyota Vellfire tersebut telah rosak sewaktu bas kami ingin melepasi kawasan itu,” jelas wakil jurucakap Rapid Bus.

Sehubungan itu, Zulkafli meminta saksi kejadian menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 bagi menyalurkan maklumat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram