Peluang menjadi tuan rumah pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 perlu dimanfaatkan sebaiknya Harimau Malaya yang sudah lama tida layak ke kejohonan tertinggi benua Asia itu./Gambar FB FAM

MENJADI hos, ini peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia. Jika terlepas, entah bila lagi dapat berada dalam kedudukan terbaik bagi layak ke saingan tertinggi benua.

Tak kan sampai bila-bila nak main di peringkat pusingan kelayakan sahaja selain merebut Piala Dunia Asia Tenggara (Piala AFF Suzuki).

Cukuplah. Piala Dunia memang jauh dari bayangan maka beraksi di pentas Piala Asia adalah paling realistik.

Jika dahulu memang jauh lebih sulit kerana tempatnya terhad. Hanya ada enam tempat sebelum dikembangkan kepada 10, 16 sehinggalah menjadi 24 pasukan pada edisi lalu.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit adalah pada 1980 (hanya 10 pasukan layak) di Kuwait.

Sebelum itu pada 1976 (enam pasukan sahaja yang layak).

Era 70-an dan awal 1980-an adalah tempoh emas bola sepak negara. Walau jumlah negara yang layak terhad, generasi itu memang hebat.

Jangan kata Piala Asia, ke Sukan Olimpik pun mereka layak.

Generasi selepasnya hinggalah sekarang, hanya mampu mengingati sejarah tanpa dapat mengulanginya.

Ada sekali masuk pada 2007 ketika menjadi hos bersama tiga lagi negara Asia Tenggara.

Keputusannya jangan cerita, memang meresahkan seluruh negara apabila berdepan pasukan gergasi Asia.

Safiq Rahim (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Malaysia menentang pasukan Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu./ Gambar BERNAMA

Hanya Vietnam lolos ke pusingan kalah mati tetapi di antara tiga negara tuan rumah yang paling longlai adalah Malaysia – tanpa mata langsung berbanding skuad Garuda dan Gajah Perang.

Dan untuk edisi ini, Vietnam yang baru keluar daripada sengsara perang sekitar tiga dekad lalu sudah pun layak.

Begitu juga pada edisi lalu (2019) mereka juga layak.

Jangan Kemboja pula memintas Harimau Malaya sikit masa lagi jika pihak yang bertanggungjawab terus bersikap ‘urusan seperti biasa’.

Malam ini perhitungan pertama Malaysia. Lawan kita Turkmenistan. Ini disusuli dengan Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh (14 Jun).

Turkmenistan pada kedudukan 134 ranking dunia, Bangladesh (188), Bahrain (89) dan Malaysia di tangga 154.

Keupayaan setiap pasukan tidak banyak beza. Senarai pemain Malaysia juga tidak banyak diganggu dengan kecederaan.

Di gelanggang keramat Stadium Nasional Bukit Jalil pernah menyaksikan pasukan UAE yang lebih kuat dari Bahrain berhempas pulas ketika berdepan Malaysia dua tahun lalu.

Perlawanan pertama Malaysia bertemu Turkmenistan malam ini./Grafik FAM

Baca: Mampukah skuad Pan Gon akhiri kegagalan Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia?

Justeru, ini peluang terbaik untuk Kim Pan-Gon menyempurnakan misi pertama beliau sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Untuk makluman ada enam kumpulan pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia. Juara setiap kumpulan automatik layak.

Lima tempat kedua terbaik daripada enam akan layak ke Piala Asia 2023. Maknya ada 11 tempat lagi kosong setelah 13 pasukan sudah mengisinya.

Jangan hampakan kami yang hanya mampu beraksi sebagai pemain ke 12 – ini peluang terbaik kita.