- Gambar Facebook FAM

MALAYSIA bertindak cemerlang dalam aksi pembukaan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 apabila menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Gol-gol skuad Harimau Malaya dijaring oleh Safawi Rasid seawal minit ke-11, Faisal Halim pada mini ke-16 dan seterusnya gol ketiga oleh pemain pertahanan Colvin Ong pada minit kecederaan sebelum separuh masa pertama berakhir.

Turkmenistan mendapat gol tunggal mereka menerusi gol Altymyrat Annadurdyyev pada minit ke-38 selepas berlaku kesilapan oleh barisan pertahanan pasukan negara.

Gol tersebut diperoleh hasil kesilapan barisan pertahanan Malaysia apabila Shahrul Saad gagal menolak keluar bola yang menyaksikan satu gerakan ke gawang dilakukan pemain Turkmenistan.

Ketika itulah, Dion Cools melakukan kesilapan tertanduk bola ke belakang dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias hingga Turkmenistan berhasil menjaring gol pertama mereka menerusi Annadurdyyev yang mudah menolak masuk bola.

Malaysia mempamerkan corak permainan menyerang dalam separuh pertama yang menyebabkan Turkmenistan tertekan dengan larian-larian cantik yang dilakukan oleh Arif Aiman, Faisal Halim dan Darren Lock di barisan hadapan.

Dalam separuh masa kedua, corak permainan skuad negara yang lebih banyak bertahan berjaya mengekang asakan-asakan pemain Turkmenistan yang cuba mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan pertama mereka ini.

Jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew mengakui kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik terutamanya apabila ia merupakan aksi kompetitif pertama selepas pandemik Covid-19.

Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pula jelas gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya menepati sasaran awal untuk membawa pulang tiga mata berharga, sekali gus menjadi tonik terbaik menghadapi baki dua lagi aksi kumpulan selepas ini.

Selepas Turkmenistan, Malaysia akan bertemu pasukan pilihan, Bahrain pada 11 Jun sebelum berdepan Bangladesh (14 Jun) bagi aksi penutup tirai saingan Kumpulan E.

Dalam perlawanan berasingan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada petang Rabu, Bahrain turut menang selesa 2-0 ke atas Bangladesh menerusi jaringan Ali Abdula Haram dan Komail Hasan al-Aswad.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram