PELAKON Aishah Azman mengakui bahawa dia pernah menolak tawaran pengarah dan penerbit yang memerlukan dirinya memakai rambut palsu kerana tidak sanggup melanggar hukum agama.

Aishah atau nama penuhnya Nor Aishah Afika Azman Shah, 26, turut memberitahu bahawa dia sudah berbincang dengan pengarah untuk menghubungi pelakon lain jika mereka masih inginkan watak wanita tidak bertudung atau yang memakai rambut palsu.

“Ada pengarah dan penerbit minta (request) saya untuk pakai rambut palsu. Tapi kita kena tahu lah hukum dia.

“Saya bukan pakai tudung ‘kosong-kosong’ saja, saya juga membaca dan ustaz-ustaz pun ada bagi pendapat. Pakai rambut palsu ni diharamkan sama sekali untuk wanita bertudung kerana ia menyerupai seorang wanita yang tidak bertudung.

“Lepas itu saya beritahu pengarah kalau mereka masih mahukan watak wanita tidak bertudung atau nak yang pakai rambut palsu, lebih baik panggil orang lain lah untuk bawak watak ini.

“Saya tak sanggup buat sebab saya pun dah pakai tudung sepenuhnya,” katanya kepada URTV.

Aishah ditemui pada sidang media pelancaran telefilem Bangkitkan Aku Kembali di Laman Perkahwinan NMR di ibu kota, petang semalam.

Mnenerusi naskhah tersebut, Aishah bakal memegang watak sebagai Cikgu Shila.

Pelakon drama Suri Katriana itu juga tidak percaya bahawa penampilan bertudungnya itu akan menjadi punca dia tidak akan menerima sebarang tawaran untuk berkarya.

“Saya percaya bahawa rezeki itu Allah yang tentukan. Saya tak rasa imej bertudung akan mengakibatkan tawaran berkurangan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur. Sekarang saya sudah bertudung, kemungkinan selepas ini, saya akan dijemput untuk ke rancangan televisyen yang lebih berkonsepkan Islam.

“Rezeki ini tak salah alamat. Dia ada saja tapi berbeza cara,” ujarnya.

Tambah Aishah, dia berharap agar ada pembaharuan terhadap watak wanita bertudung dalam sesebuah karya selain mengharapkan agar penggiat seni tidak meletakkan limitasi kepada artis yang berhijab.

“Kalau boleh, saya nak tukar cara berfikir orang kita, bertudung tidak semestinya kena ada limitasi. Tak semestinya bertudung kena pakai jubah. Imej ini juga terbuka kepada fesyen yang bersesuaian.

“Watak tudung saja mesti kena baik, pegang watak-watak yang klise. Sedangkan mungkin boleh diberikan watak psiko dan sebagainya,” tambahnya.