Enam pemimpin negara ASEAN menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-US di Washington D.C bulan lalu. /Gambar BERNAMA

“SAYA tidak menentang usaha memartabatkan bahasa Melayu tetapi, tetapi dan tetapi”. Banyak sungguh tetapi.

Salah satu contoh tetapi boleh dibaca dalam satu hantaran Facebook Datuk A. Kadir Jasin semalam. Ada beberapa tetapi disenaraikan pemimpin Pejuang itu sehingga membawa pembaca ke Tanzania.

Yang tak disebut beliau ada beberapa negara di benua Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama tetapi tidak maju mana pun jika nak dibanding dengan beberapa negara ASEAN yang tidak menggunakan bahasa Inggeris.

Nak tahu, Nigeria sebagai contoh sedangkan kemajuan Rwanda yang bangkit selepas perang lebih mengkagumkan berbanding Nigeria yang kaya dengan minyak.

Rwanda yang ada empat bahasa rasmi termasuk Swahili diakui muncul kuasa ekonomi di Afrika termasuk menjadi destinasi hub syarikat teknologi.

Negara jiran Tanzania itu bukan lagi bergantung kepada industri pelanocang yang mana gorila sebagai tarikan seperti mana dalam minda orang di Bond Street.

Entah mengapa, banyak sangat halangan atau lebih tepat pemikiran yang memperlekehkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di Malaysia. Seolah-olah masih di tahun 50-an.

Walhal apabila aspirasi memartabatkan bahasa kebangsaan diangkat sendiri oleh Perdana Menteri, sudah tentu pentasnya adalah di peringkat tertinggi termasuk ketika acara rasmi di peringkat antarabangsa.

Yang mana perkara itu juga bukanlah luar biasa atau janggal dalam dunia diplomatik. Banyak negara mengamalkannya.

Dalam Persidangan Antarabangsa Nikkei baru-baru ini, delegasi Vietnam mahu pun Thailand menggunakan bahasa kebangsaan mereka sendiri.

Apatah lagi tuan rumah – Jepun yang sentiasa berbangga dengan bahasa ibunda mereka termasuk selepas tewas perang kepada Amerika Syarikat.

Di Parlimen Kesatuan Eropah (EU) sendiri bukan hanya bahasa Inggeris yang menjadi keutamaan. Selain bahasa Perancis dan Jerman, ada 24 bahasa rasmi kesemuanya di Parlimen EU.

Dalam amalan diplomatik juga, bukan asing jika ada negara memilih menggunakan surat menyurat dalam bahasa kebangsaan masing-masing yang akan disertakan terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa kedua lain yang bersesuaian.

Justeru, kenapa mahu menunggu segagah Rusia atau China (contoh disebut Kadir) untuk baru layak menggunakan bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa?

Berapa lama mahu menunggu dan lebih mustahak kenapa begitu rasa rendah diri sekali apabila bahasa Melayu diutamakan sedangkan sudah lebih enam dekad Malaysia merdeka.

Sampai bila ada rasa rendah diri seakan dirasakan kurang bijak hanya kerana tidak bercakap bahasa Inggeris?

Sedangkan sudah menjadi norma semasa untuk menerima kepelbagaian linguistik dan ini menjadi amalan di Parlimen EU.

Di UK, bahasa Irish akan diberikan status bahasa rasmi buat Ireland Utara yang menjadi sebahagian komponen UK.

Perkembangan mutakhir ini bukanlah pelik kerana dunia sendiri sudah semakin kecil. Apa-apa insiden yang menarik di Tanzania juga boleh tular sehingga diketahui orang di pekan Tanah Merah, Pendang.

Walaupun orang Tanzania tak tahu cakap Melayu dan begitu sebaliknya orang Pendang tak tahu cakap Swahili, itu bukan penghalang asalkan ada liputan Internet.

Warga net Malaysia pun boleh berkomunikasi dengan orang Tanzania kerana terjemahan boleh dilakukan secara langsung. Macam komen di Facebook.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga harus menjadi model kejayaan mengangkat bahasa kebangsaan di persada pendidikan.

Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tidak pernah menyekat kemajuan UKM dan tidak pula menjadikan rankingnya jauh di belakang.

Tokoh-tokoh bahasa termasuk Datuk Dr Awang Sariyan (tengah) mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan pemerkasaan bahasa Kebangsaan di bangunan Parlimen 10 Mac lalu./Gambar PMO

Baca: PM bertemu tokoh bahasa bincang usaha martabat bahasa Melayu

Saifuddin tulis surat rasmi kepada Setiausaha Negara AS dalam bahasa Melayu

Pada masa sama memang betul, tiada siapa boleh menafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris atau apa-apa sahaja bahasa utama dunia sebagai bahasa kedua – sama seperti mereka tidak bermaksud memperkecilkan usaha memartabat bahasa kebangsaan.

Di Ireland, walaupun bahasa Inggeris digunakan meluas tetapi kesedaran nasionalisme untuk kembali menggunakan bahasa Ireland (Gaelic) adalah meluas termasuk dalam urusan diplomatik hingga menjadi sebahagian bahasa rasmi di Parlimen EU.

Ismail Sabri Yaakob kotakan iltizam berucap dalam bahasa kebangsaan pada Persidangan Nikkei ke-27 mengenai ‘Masa Depan Asia’ hujung bulan lalu./Gambar PMO

Namun jika terus berhujah mempersoalkan kenapa bahasa Melayu digunakan ketika bertemu pemimpin negara lain atau pada persidangan antarabangsa seperti dibangkitkan Kadir dan Tan Sri Rafidah Aziz, itu perlukan rawatan keyakinan diri kepada bahasa kebangsaan.

Takkanlah tempat bahasa kebangsaan yang sudah termaktub kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan hanya ketika persidangan parti politik sahaja.

Siapa bermain politik sebenarnya?

Justeru, tidak perlu asyik bernostalgia dengan era penguasaan bahasa Inggeris setaraf penjajah sahaja.

Sesungguhnya terdapat banyak ramuan lain diperlukan untuk memacu kemajuan ekonomi sesebuah negara. Tindak-tanduk dan sikap orang politik misalnya lagi mustahak.

Jika penguasaan bahasa Inggeris sebagai ukuran, sudah tentu China di belakang India. Atau Filipina di depan Vietnam.