BAGAI pungguk rindukan bulan, itu antara pepatah Melayu popular yang menggambarkan kerinduan tidak terperi pada seseorang yang tidak mungkin akan menjadi miliknya.

Begitu setianya haiwan itu terhadap pasangannya, begitu juga dalam kehidupan sebenar si pungguk ini. Menurut kajian, burung pungguk atau lebih dikenali sebagai burung hantu adalah sejenis haiwan yang sangat setia kepada pasangannya.

Dalam kehidupan haiwan ini, ‘mereka’ hanya akan ‘berkahwin’ sekali sahaja seumur hidup. Sekiranya sudah menjumpai pasangan yang serasi, ia akan kekal bersama pasangannya sehingga mati.

Burung pungguk atau burung hantu dikenali sebagai haiwan yang setia pada satu pasangan sahaja.

Burung pungguk termasuk di kalangan haiwan yang hidup secara monogami. Disebabkan spesies ini merupakan pasangan yang setia, burung pungguk mempunyai sifat ‘mempercayai’ pasangan masing-masing. Jarang sekali ada burung pungguk lain yang cuba memikat burung yang sudah mempunyai pasangan.

Kehidupan sosial haiwan ini juga agak unik dan lebih banyak dihabiskan di sekitar habitatnya sahaja. Tugas membesarkan anak-anak dilakukan sepenuhnya oleh burung pungguk betina, tetapi dalam masa yang sama burung pungguk jantan akan memastikan keselamatan keluarganya dengan menjadi pengawal di sekitar sarang mereka.

Sekiranya ada penceroboh masuk ke kawasan mereka, haiwan ini tidak teragak-agak untuk menyerang dan membunuh dengan cara mengoyakkan daging mangsa menggunakan paruh dan cengkaman kukunya yang tajam.

Burung ini lebih mementingkan sifat kekeluargaan antara pasangan dan anak-anaknya. Ia hanya akan keluar daripada kawasan kediaman untuk mencari makanan dan sekiranya kawasan yang diduduki itu terancam.

Namun, di sebalik sifat penyayang dan mementingkan keluarga itu, hakikatnya si burung pungguk ini adalah sejenis haiwan yang pemalas.

Haiwan ini tidak pernah membuat sarangnya sendiri. Mereka hanya akan menetap di tempat-tempat yang dirasakan sesuai. Ada yang menetap di dalam lubang di atas tanah, ada juga yang menetap di liang-liang pokok untuk dijadikan sarang. Biasanya lubang-lubang tersebut adalah bekas tinggalan haiwan lain.

Haiwan ini juga tidak suka membersihkan kawasannya seperti burung-burung lain. Mereka bukan spesies haiwan yang akan memperbaiki sarang sekiranya terdapat kerosakan, tetapi akan mencari habitat lain apabila dirasakan tempat yang didiami sudah tidak sesuai diduduki.

Walaupun setiap pada pasangan, namun haiwan ini mempunyai sifat pemalas.

Mengapa si pungguk ini digelar ‘burung hantu’? kedengaran agak menyeramkan, tetapi gelaran burung hantu ini diberi hanya kerana ia spesies haiwan nokturnal (aktif pada waktu malam).

Burung ini mempunyai penglihatan yang sangat tajam dan boleh melihat mangsanya dari jarak jauh. Bentuk mukanya berbeza dengan bentuk burung biasa. Mukanya rata seperti manusia dengan kedua matanya  menghadap ke hadapan.

Burung hantu berwajah serius dengan mata yang besar. Ini membantunya mencari makanan dalam kegelapan. Paruhnya yang bengkok ke bawah dan tajam berguna untuk mengoyak daging.

Burung hantu jantan dan betina kelihatan hampir serupa. Ia hanya dapat dibezakan saiznya iaitu burung hantu betina 25 peratus lebih besar daripada si jantan.

Haiwan ini memiliki bulu-bulu sayap yang halus untuk membantunya terbang hampir tanpa sebarang bunyi dan akan mengejutkan mangsanya. Sebab itu juga ia digelar pemburu senyap. Mangsa yang tidak sedar akan kehadirannya sukar untuk melepaskan diri daripada serangan haiwan ini.

Burung ini lebih kerap berburu pada malam hari. Mangsanya ialah mamalia kecil seperti tikus dan ular sawah. Walaupun agak menyeramkan, namun sebenarnya burung hantu ini sangat membantu untuk membasmi haiwan perosak.

Jika dulu burung hantu ini hanya terdapat di dalam hutan, tetapi kini ia juga boleh mudah dilihat di kawasan bandar. Ia akan menetap di celah-celah bangunan, sama seperti burung layang-layang. Sama seperti di hutan, di bandar juga burung ini akan memburu haiwan perosak seperti tikus.

Fakta Burung Hantu

  • Akan memecahkan tulang mangsanya dengan menghempaskan ia ke atas batu. Kemudian, ia akan makan sumsum yang terdapat di dalam tulang tersebut.
  • Burung hantu jeis Peregrine Falcon adalah burung hantu yang paling pantas di dunia. Ia boleh menjunam memburu mangsa dengan kelajuan sehingga 350 kilometer sejam!
  • Mampu terbang pada tahap ketinggian yang luar biasa iaitu sehingga 11,000 meter. Ketinggian tersebut sama dengan sebuah kapal terbang yang berada di udara.
  • Mampu memusingkan kepalanya hingga 360 darjah untuk mendengar bunyi-bunyian di sekelilingnya.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com