PELAKON Adam Corrie mendedahkan bahawa watak ‘Dragon’ dalam filem KL Gangster 3 akan kembali dan dia kini sedang menunggu panggilan daripada pengarah, Syamsul Yusof, 38, untuk memulakan pengambaran.

Menurut Adam, semua watak daripada siri sebelumnya juga bakal tampil dalam filem akan datang kerana jalan cerita naskhah tersebut adalah perantara jalan cerita sekuel pertama dan kedua.

Adam, atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 53, juga memberitahu bahawa watak dan peranan Dragon yang dilakonkannya adalah berbeza di antara filem KL Gangster pada 2011 berbanding KL Gangster 2 disebakan peredaran zaman.

“Syamsul (Yusof) sudah hubungi (call) saya dan mengatakan bahawa KL Gangster 3 akan ada ketika dia sedang menyunting filem Mat Kilau. Syamsul berkata bahawa semua pelakon seperti Datuk Adi Putra, Zizan Razak dan lain-lain juga bakal tampil.

“Saya masih tunggu ‘green light’ daripada Syamsul mengenai skrip, kontrak dan sebagainya. Kalau semua dah siap dan Syamsul hubungi saya untuk semua ini, saya sampai. Mengenai bayaran, kita bincang lain.

“Mengenai perbezaan watak Dragon dalam filem pertama dan kedua, kita tak boleh membandingkan kerana faktor perbezaan zaman. Ketika KL Gangster yang pertama, Dragon sudah menjadi legenda dalam dunia gangster dan yang kedua pula, Dragon ni baru nak naik dalam dunia gangster.

“Untuk filem KL Gangster yang pertama, jalan cerita dia maju ke hadapan, kita tahu apa jadi kepada Fadhil dan segalanya manakala filem kedua ini dia kebelakang balik, kita tengok apa nasib Malek sebelum jadi gangster. Dia terbalikkan.

“Jadi jalan penceritaan (storyline) KL Gangster 3 ni adalah perantaraan yang menghubungkan dua filem itu. Dia dekat tengah-tengah antara (in between) filem pertama dengan kedua. Saya yakin ramai yang tak sabar untuk saksikan filem yang akan datang ini,” katanya kepada URTV.

Adam ditemui pada sidang media pelancaran supertelefilem Bangkitkan Aku Kembali di Laman Perkahwinan NMR di ibu kota, baru-baru ini.

Adam memegang watak sebagai Ustaz Daniel pada telefilem yang akan datang ini.

Ketika dipersoal mengenai cabaran yang dihadapi mengenai pembawaan karakter yang berbeza, Adam berkata bahawa menjayakan watak yang berbeza bukanlah satu masalah baginya asalkan dia tahu bagaimana nak membawa karakter tersebut.

Tambah pelakon itu, dia pernah melakonkan tiga watak dalam masa satu hari suatu ketika dahulu.

“Satu hari saya pernah bawa tiga karakter. Satu, watak gangster dalam filem Darah Panas, habis shooting saya masuk set Metro Skuad dan jadi polis. Habis saja shooting, saya masuk set sebagai watak muallaf pada hari yang sama.

“Jadi, bagi saya ia bukan satu masalah asalakan mereka tahu bagaimana nak menjiwai watak-watak yang ditawarkan,” ujarnya.